
Saban tahun umat Islam akan menyambut Awal Muharram atau dikenali sebagai Maal Hijrah bagi mengingati dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w dan sahabat dalam peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah. Selama tempoh 1432 tahun kita menyambut Maal Hijrah, perlu difahami bahawa hijrah yang sebenarnya bukan sahaja bermaksud sekadar kita berhijrah dari Makkah ke Madinah atau dari satu tempat ke tempat lain tetapi apa yang lebih penting ialah menjiwai dan menghayati perjuangan dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w menjana serta mengangkat kalimah Lailahaillallah di mercu dunia demi kesejahteraan umat.
Hijrah adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah s.a.w, Hijrah membolehkan baginda mengatur strategi lebih berkesan bagi umat Islam menggembleng usaha dan mengukuhkan kekuatan umat Islam. Allah Taala juga berfirman : “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang boleh mengharap rahmat dari-Nya.”al-Baqarah:218. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru dengan kedatangan tahun baru Hijriyah ini menjadi titik tolak kepada ahli Haluansiswa untuk terus menerjunkan diri ke medan dakwah kampus di samping mengatur langkah yang teratur dan memantapkan saf kepimpinan. Langkah perlu diperkemaskan, tangan perlu disingsing dan jiwa perlu disegarkan dengan nafas dakwah yang memuncak. Beberapa pesanan yang boleh saya nukilkan agar kita bersama-sama mengambil iktibar di sebalik peristiwa Hijrah ini.
Keikhlasan Yang Dituntut
Keikhlasan merupakan hasil proses didikan terhadap hati manusia di dalam melaksanakan amal kepada Allah. Keikhlasan ini akan menentukan samada amal itu merupakan amal yang terbaik di sisi Allah atau menjadikan ia kehinaan di akhirat. Allah taala berfirman :
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
” Allah Taala yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun“. (Al-Mulk: 2)
Imam Al-Ghazali juga menuturkan, “Setiap manusia binasa kecuali orang yang berilmu. Orang yang berilmu akan binasa kecuali orang yang beramal (dengan ilmunya). Orang yang beramal juga binasa kecuali orang yang ikhlas (dalam amalnya).”
Dari segi amal kita kepada Allah taala, ternyata dan pasti apabila kita mendapati bahawa mengharapkan syurga Allah dengan amalan kita semata-mata sahaja adalah tidak memadai dan mencukupi kerana Allah Taala akan menilai tahap kelayakan ahli syurga berdasarkan niat dan keikhlasan.Tanpa ikhlas, amal seseorang akan sia-sia tidak berguna dan tidak dipandang sedikitpun oleh Allah swt. Dalam hal ini, hanya orang-orang yang ikhlas beramal yang akan mendapat keutamaan dan keberkahan yang sangat besar, seperti yang dijamin Allah dalam firmanNya, “Tetapi hamba-hamba Allah yang dibersihkan (bekerja dengan ikhlas). Mereka itu memperoleh rezeki yang tertentu, yaitu buah-buahan. Dan mereka adalah orang-orang yang dimuliakan, di dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan”. (Ash-Shaaffat: 40-43)
Justeru saya menyeru ahli Haluansiswa agar sama-sama kita menyucikan hati di dalam melaksanakan urusan dakwah ini. Proses didikan diri hendaklah dipertingkatkan, amal dakwah hendaklah diteruskan, ibadah hendaklah dimantapkan, akhlak hendaklah dihiaskan dengan sifat-sifat mahmudah agar masyarakat menyedari keikhlasan kita untuk mendidik dan berbakti.
Kesungguhan Yang Berterusan
Jiddiyah atau kesungguhan merupakan sifat yang perlu ada pada setiap ahli Haluansiswa. Tanpa sifat ini Haluansiswa tidak akan maju dan berkembang, tiada peningkatan dan tiada ahli yang berkualiti. Kita membaca sirah para sahabat Rasulullah s.a.w di mana mereka terdiri daripada golongan yang serius dalam bekerja. Apabila turun sahaja ayat-ayat Allah s.w.t mereka berlumba-lumba untuk melaksanakannya. Mereka tidak sanggup menunggu kerana memahami maksud ayat Allah s.w.t :
Terjemahannya:
“ Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; “
(Surah Ali Imran : 133 )
Rasulullah s.a.w sentiasa memotivasikan dan menggesa para sahabat agar menjalankan kerja dengan bersungguh-sungguh bagi mengelakkan fitnah menimpa individu, keluarga, jamaah dan ummah seluruhnya.Sabdanya:
“Bersegeralah melakukan amal soleh sebab akan berlaku fitnah besar bagaikan malam yang gelap gelita di mana seorang lelaki, paginya beriman apabila tiba petang hari berbalik kufur, petang ini beriman pagi esok kembali kufur kerana menukar deen dengan keuntungan dunia yang sangat remeh.”
Kreativiti di Alam Dakwah
Menurut Dr. Ali al-Hamadi pengertian kreativiti ialah campuran dari khayalan pengetahuan yang fleksibel untuk mengembangkan idea lama atau mengadakan idea baru sekalipun hanya idea kecil yang menghasilkan suatu yang berbeza dan tidak biasa untuk dilaksanakan dan diamalkannya. Sirah telah menyatakan kepada kita bahawa idea Salman Al-Farisi untuk menggali parit di dalam Peperangan Ahzab merupakan satu buah fikiran kreatif teah menyelamatkan umat Islam dari ancaman 10 ribu kaum Musyrikin.
Begitu juga bagi seorang daie yang memahami permasalahan sebenar umat Islam, kreativiti sang daie amat ditagih untuk mengemudi bahtera umat ini agar mereka menyedari hakikat perhambaan yang sebenar kepada Allah SWT. Ahli Haluansiswa hendaklah sentiasa membuat penyelidikan, melakukan pembacaan dan kajian agar dapat mewujudkan idea yang kreatif untuk membentuk kesedaran ini. Dakwah Fardiyah (individu) amat menuntut kekreativitian ahli Haluansiswa untuk menyampaikan kesedaran Islam dalam konteks yang baru agar mudah diadaptasi dan diterima warga kampus.
Oleh itu dakwah kepada Allah sangat perlu kepada pendakwah yang kreatif dalam semua lapangan amal dakwah untuk membangunkannya dan mencapai matlamatnya kerana kalau berlaku sedemikian tentulah akan membuka lembaran yang baru di mana sebelum itu suatu yang sukar untuk sampai kepadanya. Tingkatkanlah kreativiti kita sebagai daie kampus agar dakwah ini dapat dimasyarakatkan.
Pengorbanan Yang Diharapkan
Setiap ahli Haluansiswa yang meredhai Allah Ta’ala sebagai Rabb, Islam sebagai cara hidup dan Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul, maka dituntut darinya melakukan pengorbanan. Setiap yang bernazar dan berjanji kepada Tuhannya untuk bekerja dan berjihad untuk Islam dituntut darinya melahirkan kesungguhan dan pengorbanan yang berharga. Hakikat ini mesti jelas dengan sejelas-jelasnya pada seorang Muslim. Menjadi kewajipan ke atas kita menyiapkan dan menyediakan diri bagi pengorbanan tersebut. Jadi apakah dia pengorbanan yang diharapkan itu?
“Mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan semua perkara untuk mencapai matlamat.”
Ya, inilah pengorbanan yang dituntut daripada seorang ahli. Inilah pengorbanan yang diseru oleh Allah Ta’ala dan dididik para sahabat oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Allah Taala berfirman;
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dan membayarnya dengan syurga. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu membunuh atau dibunuh. Itulah janji yang benar yang disebut di dalam kitab Taurat, Injil dan Quran. Sesiapa yang menunaikan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu meterikan itu. Yang demikian adalah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)
Kita dituntut memberikan pengorbanan pada jalan Allah dengan tujuan menolong agamaNya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mentarbiyah para sahabatnya untuk berjihad pada jalan Allah dan mengorbankan setiap apa yang berharga dan bernilai bagi memenangkan agama iniSesungguhnya umat ini tidak akan baik melainkan dengan perkara yang menyebabkan umat dahulu menjadi baik, dan sekali-kali mereka tidak akan menjadi mulia melainkan dengan perkara yang menyebabkan umat dahulu menjadi mulia.
Sepotong syair Arab ada meyebut;
“Sesiapa yang mengejar ketinggian tanpa berpenat lelah maka dia telah mensia-siakan kerjanya dalam menuntut sesuatu yang mustahil.”
Begitulah juga kita melihat proses didikan Nabawiyah yang dinikmati oleh para sahabat secara praktikal.
Saidina Abu Bakar Radhiallahu ‘Anhu telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepadanya: “Apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?” Lalu beliau menjawab: “Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.”
Penutup
Kami menyeru kepada setiap warga Haluansiswa agar kita meneruskan azam dan tekad serta usaha untuk mengubah diri ini ke arah yang lebih baik dan bermanfaat untuk warga kampus secara khususnya dan manusia secara umumnya. Perubahan ini tidak akan berlaku tanpa berlakunya penyucian hati, pengorbanan diri , kreativiti dan kesungguhan kita. Maka saya mengambil kesempatan mengucapkan Salam Maal Hijrah buat seluruh ahli Haluansiswa di seluruh pelusuk negara.
MUHAMMAD MUZAKKIR B CHE ANI
Setiausaha HALUANSiswa Nasional
UKM, 1 Muharram 1432H.
7 Disember 2010













