Mujahid Fathi Yakan di dalam kitabnya, Ma za Ya’ ni Intimai Li al-Islam telah menyatakan bahawa di dunia ini terdapat tiga kategori manusia:
Kategori pertama:
Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran:
Dan tentu mereka akan mengatakan (pula): Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia saja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan.
(Surah Al An’am: 29)
Dan mereka berkata: "Kehidupan Ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang akan membinasakan kita selain masa", dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga saja.
(Surah Al-Jatsiyah: 24)
Orang-orang komunis dan rakan-rakan mereka dari golongan sekular atau penganut fahaman existensialism juga beranggapan sedemikian. Dalam satu ulasan yang ditulis oleh Joseph Stalin terhadap pendapat seorang ahli falsafah, mengatakan: "Alam ini tidak dicipta oleh mana mana Tuhan atau insan. Ia terjadi dengan sendirinya dan akan kekal berterusan sebagaimana adanya. Ia merupakan obor kehidupan yang terus menyala dan akan padam berdasarkan hukum-hakam yang tertentu".
Kategori kedua:
Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, aqidah bersimpang siur, melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah Subhanahuwatala’ala dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka berbuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah Subhanahuwatala’ala dan Hari Qiyamah tetapi aqidah mereka hanyalah gambaran luar semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti atau amalan hidup mereka. Mereka itu pada hakikatnya berfahaman kebendaan (materialis) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.
Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalahnya yang bertajuk "Fi Ayyi Nad'un Nas (Ke mana kita ingin menyeru manusia)" menerangkan matlamat-matlamat hidup pelbagai golongan manusia di dunia:
1. Terdapat segolongan manusia yang hidup mereka adalah untuk makan, minum dan menikmati kelazatan dunia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.
(Surah Muhammad, Ayat: 12)
2. Segolongan manusia yang tujuan hidup mereka adalah untuk menikmati perhiasan dan bersenang-senang dengan kemewahan, dalam firman Allah Subhanahuwata’ala:
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).
(Surah Ali Imran: 14)
3. Segolongan manusia yang hidup mereka di dunia adalah mengadakan angkara fitnah, menyuburkan kejahatan dan kerosakan, dalam sebuah firman Allah Subhanahuwata’ala:
Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penantang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerusakan padanya, dan merusak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan.
(Surah Al-Baqarah: 204 - 205)
Demikianlah tujuan-tujuan hidup manusia di dunia. Allah Subhanahuwata’ala telah membersihkan orang-orang mukmin dari tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajipan yang tinggi lagi mulia. Tanggungjawab tersebut ialah menunjukkan kebenaran Islam kepada manusia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan menyinarkan seluruh alam ini dengan cahaya Islam.
Kategori ketiga:
Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebgai ladang tanaman untuk mendapat hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah Subhanahuwatala’ala. Mereka mengetahui hakikat hidup serta nilai dunia berbanding dengan Hari Akhirat. Allah Subhanahuwatala’ala membandingkan mereka seperti dalam Firman-Nya:
Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa, maka tidakkah kamu memahaminya?
(Surah Al An’am : 32)
Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah Subhanahuwatala’ala dan mencari keredhaanNya. Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada Jalan Allah Subhanahuwatala’ala..
Mus`ab b Ghazali
Mesir













