H A L U A N S i s w a

Bersahsiah Dekat & Bererti

You are here: Laman Utama Salam Perantau Adab Terhadap Ibu Bapa

Adab Terhadap Ibu Bapa

Firman Allah SWT;

“ Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya …  ”  (Al-Ankabut ayat 8 )
Sabda Nabi SAW;

“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “ Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “ Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? ” Baginda menjawab : “ Sembahyang dalam waktunya. ” Beliau bertanya lagi : “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Kemudian berbakti kepada ibubapa. ” Beliau bertanya lagi: “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Berjihad di jalan Allah. ” Beliau berkata lagi: “ Baginda SAW telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda SAW menambah lagi, pasti Baginda SAW menambah untuk saya. ” [Hadis riwayat Bukhari]

Hukum berbakti kepada ibubapa

Berbakti kepada ibubapa dan menghubungkan silaturrahim adalah wajib. Al-Birr (berbuat kebaikan/ berbakti) ialah melakukan segala kebaikan yang boleh membawa pembuatnya ke syurga.

Sebab turun ayat 8 Surah Al-Ankabut

Imam Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi meriwayatkan:

Ibu Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. – iaitu Hamnah binti Sufyan bin Umayyah. Ibu beliau merupakan sepupu kepada Abu Sufyan bin Umayyah – telah bersumpah tidak akan bercakap dengan Sa’ad r.a. selama-lamanya, sehingga beliau kufur dengan agamanya (agama Islam). Ibunya juga berkata kepada beliau: “ Kamu pernah mendakwa bahawa Allah telah menyuruh kamu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu. Aku ini adalah ibumu. Aku menyuruhmu dengan perkara ini ( iaitu keluar dari Islam). ” Lalu turunlah ayat 8 Surah Al-Ankabut ( Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya… )

Pelengkap ayat di atas dalam Surah Al-Ankabut ialah:

… Jika mereka berdua bersungguh-sungguh mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah kamu taat kepada mereka. Hanya kepada-Ku tempat kembali kamu semuanya. Kemudian Aku akan memberitahu kamu tentang segala apa yang kamu kerjakan (di dunia dahulu). [Al-Ankabut Ayat 8]

Huraian Hadis Abdullah bin Mas’ud r.a.

Abdullah bin Mas’ud salah seorang ulama fiqh di kalangan para sahabat r.anhum. Beliau telah menyertai Perang Badar dan semua perang lain bersama Nabi SAW.

“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “ Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “ Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? ” Baginda menjawab : “ Sembahyang dalam waktunya. ”

Maksudnya : Mengerjakan solat dalam waktunya secara tunai, bukan qadha di luar waktunya. Mengerjakan solat pada awal waktu lebih baik dan mulia, berdasarkan hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim daripada Ummu Farwah r.anha. bahawa Rasul Allah SAW telah bersabda :

“ Amalan yang paling mulia ialah solat pada awal waktunya”.

Beliau bertanya lagi : “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Kemudian berbakti kepada ibubapa. ”

Abdullah bin Mas’ud bertanya lagi, kemudian Nabi SAW memerintahkan supaya berbakti kepada kedua ibu bapa. Maksudnya berbuat baik, melakukan perkara yang elok kepada mereka dan membuat perkara yang menggembirakan mereka seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 8.

Syarat Ketaatan

Ayat dan hadis ini berpesan tentang hak kedua ibu bapa, dan memerintahkan supaya taat kepada mereka, sekalipun mereka kafir. Tetapi jika mereka menyuruh anak mereka supaya syirik kepada Allah Ta’ala, sebagaimana tindakan ibu Sa’ad kepada Sa’ad, maka wajiblah menderhaka mereka dalam hal tersebut.

Dalam ayat ini terdapat penjelasan tentang perkara yang mujmal (tidak dijelaskan), lalu ia dijelaskan oleh Hadis Nabi SAW ini;

Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Nasaie meriwayatkan daripada Ali r.a. bahawa Rasul Allah SAW telah bersabda:

“Tidak harus taat kepada sesiapa pun dalam menderhaka Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam melakukan perkara baik. ”

Imam Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Imran dan Al-Hakam bin Umar Al-Ghifari r.anhuma. bahawa Rasul Allah SAW bersabda:

“ Tidak harus taat kepada mana-mana makhluk dalam menderhakai Tuhan yang Maha Mencipta. ”

Wassalam.

Susunan: Mohammad Fikri bin Mohammad Nasri, Universiti Mohammad V, Rabat Agdal, Kingdom Of Morocco.

Sumber- Kitab Al-Muntakhab, Hadis Bab Adab dalam Sahih Bukhari

 

Siapa Kami?

Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) ialah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah HALUAN Malaysia. Kelab ini menjadi platform kepada ahli-ahli yang terdiri daripada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara untuk bergabung tenaga bagi menjayakan visi dan misi HALUAN. PPM 969/88

Who's Online

We have 8 guests online

Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday65
mod_vvisit_counterYesterday146
mod_vvisit_counterThis week346
mod_vvisit_counterLast week922
mod_vvisit_counterThis Month2077
mod_vvisit_counterAll days549325