.jpg)
BENTONG, 16 Jan - Ukhuwah dan kesungguhan yang tinggi. Begitulah yang dirasai oleh hampir 80 peserta Rehlah HALUANSiswa Wilayah Tengah di Lata Hammer, Bentong baru-baru ini.
Program selama 1 malam 1 hari ini diadakan sempena awal semester pengajian bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli HALUANSiswa dari pelbagai kampus di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Program bermula dengan berkumpul di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada jam 10.00 malam. Peserta program bangun seawal jam 4.30 pagi untuk qiyamullail. Tujuan qiyamullail diadakan adalah untuk mengimbangi tuntutan 3 fakulti insan iaitu ruhi, aqli dan jasmani dalam program kali ini. Peserta ada yang mentadabbur Al-Quran, solat sunat, berzikir dan sebagainya.
Seusai solat subuh berjemaah, peserta berkumpul di tengah-tengah ruang masjid dengan membuat bulatan besar sambil membaca zikir Al-Ma’tsurat beramai-ramai. Setelah itu tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Presiden SiswaHALUAN Nasional, Saudara Muhammad Siddiqi Jamalludin. Beliau menegaskan di dalam ucapannya bahawa manusia ini ibarat dua golongan mata; mata lebah, iaitu manusia yang sukakan keindahan dan tidak terpedaya dengan keburukan kerana lebah hanya hinggap pada bunga tetapi tidak kepada sampah-sarap, dan satu lagi golongan ialah mata lalat, iaitu manusia yang sukakan kerosakkan dan keburukan tetapi tidak untuk kebaikan dan keindahan kerana lalat tidak hinggap pada benda yang wangi tetapi kepada sampah-sarap.
Setelah itu peserta bersiap sedia untuk bergerak ke Bentong dengan menaiki hampir 15 buah kenderaan. Semua pemandu kenderaan diberi penerangan sebelum memulakan perjalanan dan semua peserta diberi bekalan roti dan sardin sebagai sarapan pagi. Tepat jam 8.15 pagi semua peserta mula bergerak keluar dari kawasan kampus UIAM ke Bentong melalui Lebuhraya Karak. Perjalanan yang memakan masa hampir sejam digunakan sebaiknya oleh ahli-ahli HaluanSiswa untuk saling berta’aruf dan kenal- mengenal antara satu sama lain.
.jpg)
.jpg)
Sampai di pintu masuk Lata Hammer amat mencabar kerana jalan yang berbukit dan lecak menyukarkan kenderaan untuk masuk dengan lancar. Peserta terpaksa berjalan kaki kecuali pemandu yang memandu kenderaan untuk di sesetengah kawasan. Dan Alhamdulillah semua peserta selamat sampai di kawasan meletak kenderaan di Lata Hammer. Suasana keriangan makin terasa apabila cuaca yang sejuk dan tidak sabar-sabar untuk bermain air terjun. Peserta diagihkan untuk membawa barang-barang keperluan untuk ke Lata Hammer sambil mendaki bukit sejauh hampir 2.5km yang mengambil masa 50 minit. Sambil berjalan dan mendaki bukit menuju ke destinasi, berkali-kali nyanyian nasyid perjuangan Islam beramai-ramai di kalangan peserta.
Kira-kira jam 11.30 pagi, semua peserta selamat sampai ke Lata Hammer. Deruan air terjun yang deras dari atas bukit sangat mempersonakan. Aktiviti pertama ialah perkongsian oleh Saudara Siddiqi kemudian sedikit penerangan modul pertama oleh Saudara Muhammad Shakir Sabaruddin, yang merupakan ahli majlis tertinggi SiswaHALUAN. Beliau menyatakan bahawa perjalanan yang jauh dan panjang itulah pengorbanan dalam medan dakwah dan tarbiyah.
.jpg)
.jpg)
Urusetia program mula menyiapkan tempat memanggang ayam dan mula bekerjasama membakar ayam untuk makan tengahari. Di sini peserta dapat berta’aruf dengan lebih dekat terutama yang belum pernah berjumpa dan kali pertama bersua muka di dalam program HaluanSiswa. Peserta-peserta bertukar ganti untuk membakar ayam dan mandi air terjun sambil diselangi dengan aktiviti bergambar di sekitar kawasan air terjun tersebut.
Apabila tiba waktu Zohor, semua peserta berhenti untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah di kawasan berpasir yang agak luas dan rata. Dalam jam 2.15 petang makanan ayam bbq sudah siap dipanggang dan semua peserta menjamu selera bersama-sama dengan makanan di dalam talam berkongsi 5 orang setiap satu. Di sini juga ukhuwah sesama peserta dapat dilihat apabila makin mesra antara satu sama lain.
Dalam jam 3.30 petang semua peserta mula berkemas-kemas untuk pulang dengan mengadakan sedikit gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekitar. Di sini dapat dilihat kerjasama antara peserta dan sikap sukakan kebersihan kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Jam 3.45 petang semua peserta bergerak turun ke tempat meletak kereta di kaki bukit.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Di sana merupakan destinasi terakhir sebelum semua berpisah meneruskan perjalanan pulang ke kampus masing-masing. Semua peserta sangat berpuas hati dan bergembira dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan kerana dapat membina ukhuwah dan mengeratkan silaturrahim antara peserta dan ahli HALUANSiswa yang lain, dan berharap agar diadakan lagi program seumpama ini di semester akan datang.
Laporan oleh,
Abu ‘Ubaidah Sharudin
Setiausaha SiswaHALUAN Wilayah Tengah














