
KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Seminar Kesejahteraan Mahasiswa Kali ke-6 (SKEMA VI) telah diadakan dengan jayanya
di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seminar kali ini dianjurkan oleh HALUANSiswa Nasional dengan kerjasama pihak pentadbiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan LifeLine4Gaza. Seminar yang bertemakan "Mahasiswa Proaktif & Inovatif" telah dihadiri 271 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai institusi pengajian tinggi disekitar Wilayah Tengah. SKEMA pada kali ini membawa objektif untuk menyuntik kesedaran terhadap kepentingan mahasiswa yang berdaya proaktif dan inovatif kearah mencapai kecemerlangan akademik, sahsiah dan kemasyarakatan.
Slot pertama yang bertajuk "Relevenkah mahasiswa hari ini?" telah disampaikan oleh Prof. Dr. Ismail Ahmad, Pengerusi Akademi Penyelidikan HALUAN, HALUAN Malaysia. Beliau dalam ucapannya menyentuh tentang persoalan peranan mahasiswa dan mampukah mahasiswa hari ini mendokong perubahan? Adakah mereka hanya mampu menjadi pemerhati sepi dalam melihat suasana masyarakat yang penuh dengan kerosakkan? Bersahsiah dan bermasyarakat memerlukan pemuda pemudi yang memahami Islam secara syumul, jelas akidahnya dan mampu memimpin diri & masyarakat.
![]() |
![]() |
Seminar diteruskan lagi dengan Slot Kedua iaitu "Misi Flotilla dalam Konteks Kepimpinan, Kesukarelawan dan Bakti" yang telah dikendalikan oleh Tn. Hj Noorazman Mohd Samsuddin, Pengerusi Biro HALUAN Palestin, HALUAN Malaysia. Beliau telah merungkai kejadian yang menimpa Kapal Mavi Marmara dan kesan-kesan daripadanya. Beliau dalam ucapannya turut menegaskan bahawa keperluan bagi mahasiswa untuk berada dalam proses tarbiyah bagi melahirkan mahasiswa yang mampu memikul amanah dakwah.
Ketika berbicara mengenai tugas mahasiswa, beliau menekankan bahawa tugas dan peranan mahasiswa islam ialah melakukan perubahan dan bukannya menempel atau memperbaiki. Tugas ini adalah tugas yang berat dan sukar tetapi ianya adalah tugas yang dituntut dan tugas selain dari ini adalah tidak mempunyai nilai. Hal ini di dasari kaedah di dalam hukum syara' iaitu "Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengan jalannya, maka jalan itu menjadi wajib". Mahasiswa perlu untuk mengambil semangat dari misi flotilla yang lalu.
Beliau turut menambah bahawa terdapat tiga aspek yang perlu dilakukan dalam usaha untuk berubah dan mendidik hati serta fikiran kita kepada Allah. Pertama, kita hendaklah melakukan tarbiyah aqliah iaitu mentasawurkan minda dan fikiran kita. Kedua, melakukan tarbiyah rohiyah iatitu membina ketahanan kepada hati agar menjadi kuat. Misalnya, tatkala melihat sesuatu kita mampu mengaitkannya dengan Allah yang Maha Pencipta lalu membentuk diri dengan sikap taqwa. Ketiga, kita mestilah boleh untuk melawan nafsu. Justeru, untuk berubah kita memerlukan wasail atau jalan yang ditempuhi secara berjemaah.
![]() |
![]() |
Seusai makan tengahari dan solat Zohor, seminar diteruskan lagi dengan Slot Ketiga iaitu forum bertajuk "Mahasiswa yang proaktif & inovatif" yang telah dikendalikan oleh Sdr Amin Misran. Tiga ahli panel telah dijemput khas bagi menyerikan lagi forum ini. Ahli panel pertama iaitu Sdr Muhammad Hudzaifah Nordin, Timb Presiden II SiswaHALUAN. Ahli panel kedua, Ustaz Muzakkir Che Ani, Setiausaha HALUANSiswa Nasional. Ahli panel terakhir, Sdri Nur 'Atiqah Loqman.
Pelbagai persoalan telah dikupas dan dijawab oleh ahli panel forum yang merangkumi persoalan erti kata kreatif & inovatif, apakah kepentingan mahasiswa kreatif & inovatif dan cara-cara untuk menjadi mahasiswa yang kreatif & inovatif. Pelbagai persoalan telah dilontarkan oleh peserta seminar dan jawapan balas ahli panel telah membuka minda peserta kearah melahirkan mahasiswa yang kreatif dan inovatif.
Penerangan daripada ketiga-tiga hali panel dapat dirumuskan bahawa, mahasiswa yang kreatif sangat menghargai masanya, melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza dan mengimbangi risiko yang ada untuk memberi impak yang lebih besar dalam kehidupan. Menurut Almarhum Sheikh Fathi Yakan, pemuda adalah mereka yang bercita-cita dan mempunyai semangat yang tinggi serta memiliki idealisme yang luas. Oleh itu, sebagai pemuda hendaklah kita mendekatkan hati kepada Allah, bersabar dalam menghadapi apa jua cabaran, mengharapkan keredhaan Allah melebihi daripada keredhaan manusia, bersifat sentiasa berubah dan produktif serta memberi. Kreatif dan inovatif berlaku secara ilham daripada Allah S.W.T. Namun, sebagai manusia kita perlulah berusaha untuk berubah dan membina kreativiti dalam diri sendiri.
![]() |
![]() |
Majlis penutup telah dirasmikan oleh, Ustazah Fathiya Bt Abdul Rahman, Penolong Pengarah Kanan Sosial, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Memetik ucapan beliau, "Mahasiswa merupakan merupakan tonggak kepimpinan dalam negara. Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan mahasiswa Islam yang terbentuk di atas landasan Iman & Islam yang akan memcorakkan kepimpinan negara pada masa hadapan".
Laporan: Muhammad Zakiran Mahmud
Foto: Ikrimah Husni




















