
BUKIT MERTAJAM, 6 Disember - ‘Carian Kasih’ begitulah tema Kem Minda Kreatif(KMK)
yang ke-14 Zon Utara baru-baru ini, bertempat di Pusat Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, (PULAKOPP) Bukit Mertajam pada 4 hingga 6 Disember 2009. Kem yang dianjurkan oleh Kelab Remaja HALUAN atau singkatannya KeARAH telah disertai seramai 146 peserta dari setiap negeri di utara semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Program ini turut dibantu oleh fasilitator dan urusetia dikalangan HALUANSiswa seramai 37 orang serta ahli jawatankuasa induk seramai 7 orang.
Slot mind-setting yang disampaikan oleh Cikgu Shafie menekankan kepentingan kasih kepada Ilahi disamping kepentingan berbakti kepada ibubapa. Aktiviti yang dijalankan pada kali ini lebih memerlukan kekuatan fizikal kerana para peserta perlu berjalan ke Hutan Lipur Bukit Mertajam (HLBM) dalam aktiviti Kembara Alam. Rasionalnya aktiviti pada kali ini ialah untuk membawa para peserta berjalan dan melihat keindahan ciptaan Ilahi dan seterusnya mendekatkan mereka kepadaNya.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan pada kali ini ialah KeARAH Cergas, Jejak Bintang, Tekno Muslim, ExploHidayah serta beberapa lagi aktiviti sepanjang berada di hutan lipur Bukit Mertajam. Pengarah Program, Sdr. Akhyar Ahmad Farid berharap agar KMK ke-14 ini akan memberi kesan yang positif dan mendalam kepada semua peserta dalam konteks memperbaiki hubungan hati, jiwa, dan fikiran kepada Allah swt.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melaksana agar program ini berjaya. Terima kasih juga kepada ibubapa yang memberi kepercayaan menghantar anak-anak mereka ke program ini. Semoga program sebegini dapat melahirkan remaja-remaja yang beribawa yang mampu membantu untuk memartabatkan Islam.














