
NILAM PURI, 13 Jun - Satu perkongsian berkaitan Palestin telah diadakan di Dewan Johor APIUM Nilam Puri, Kelantan. Penyampaian tersebut disampaikan sendiri oleh ketua misi LifeLine4Gaza, Tuan Haji Norazman bin Mohd. Shamsuddin. Bahang serangan ke atas konvoi Mavi Marmara masih terasa hinggakan Dewan Johor dipenuhi dengan mahasiswa dan mahasiswi yang mahu mendengar perkongsian daripada penceramah.
Program tersebut dipengerusikan oleh Muhammad Syamil Ul Anwar Bashiron (ahli HALUANSiswa Kelantan) yang juga merupakan pelajar tahun ke dua Asasi Usuluddin di APIUM Nilam Puri tersebut. Beliau juga turut mengingatkan kepada para hadirin agar tidak melupakan saudara kita yang kini berada di Palestin walaupun piala dunia sedang berlangsung tatkala ini.
Tuan Haji Norazman memulakan bicara dengan mengingatkan kembali rentetan perjuangan Palestin. Bermula dengan serangan-serangan intifadah yang pertama hinggalah membawa kepada kemenangan oleh pihak Gaza ke atas Israel. Beliau menceritakan pengalaman beliau memasuki Gaza pada bulan Januari bersama Viva Palestina sebelum berlakunya konvoi terbesar untuk membebaskan Palestin yang disertainya baru-baru ini..
Beliau juga turut memberitahu kekuatan rahsia peserta konvoi dari Malaysia agar bersedia menghadapi dugaan yang akan berlaku keatas konvoi tersebut. Antaranya ialah mempunyai keyakinan yang mendalam terhadap Islam, mengingatkan pada akhirat dan hubungan dengan Allah. Antara pesanan lain yang menyentuh jiwa mahasiswa APIUM ialah agar hidup ini selalu melakukan taubat. Dan inilah sebenarnya kekuatan umat Islam yang harus dibangunkan untuk menyelamatkan dunia daripada cengkaman musuh.
Pihak penganjur mengucapkan jutaan penghargaan kepada Timbalan Pengarah APIUM Prof. Madya Dr. Muhiden bin Abdul Rahman kerana menyokongkan untuk megadakan perkongsian ceramah ini. Diharapkan dengan perkongsian dari beliau menjadi iktibar kepada mahasiswa APIUM bahawa perjuangan membebaskan bumi Al-Aqsa sudah sampai dan kita seharusnya menyahut perjuangan tersebut.
Berita disediakan oleh:
Shairazi Sharizan (HALUANSiswa Kelantan)














