
SHAH ALAM, 12 Ogos – Program Perantau siri ke-2 anjuran HALUANSiswa
Nasional & Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah diadakan di Sekolah Menengah Ibnu Khaldun yang terletak di Jalan kebun, Shah Alam. Seramai 30 orang peserta telah hadir unuk menyertai progam tersebut. Para peserta terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi luar negara yang sedang bercuti serta mahasiswa dan mahasiswi yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Program yang berlangsung selama dua hari ini banyak memberikan pengisian yang amat bermakna untuk membolehkan para peserta sentiasa berwaspada dan bersedia dalam menghadapi cabaran dalam mengharungi jalan Dakwah dan Tarbiyyah. Dalam program tersebut terdapat slot-slot yang membuka minda para peserta untuk lebih bersedia dan bersemangat untuk memainkan peranan serta tanggungjawab sebagai dai’e antaranya ialah slot menyebarkan Dakwah dan Fikrah Islamiyah Satu Tuntutan, “Inilah dakwah kita”, Tawazun antara akademik, dakwah dan persatuan.

Peserta diingatkan supaya sedar bahawa dakwah untuk mengajak manusia mengenal Allah itu adalah wajib. Setiap insan yang punya kefahaman perlu ada kesedaran untuk menyampaikan kebenaran. Justeru di hatinya akan terbit rasa bahagia yang berpanjangan kerana inilah seharusnya jalan hidup para pejuang. Hanya untuk membawa bekal bertemu Allah Yang Maha Esa.
“Barangsiapa yang Allah menghendaki petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."
(Al- An’aam : 125)

Mahsiswa dan mahasiswi perlu mempunyai kesimbangan dan pengamatan dalam pelbagai aspek bekalan dan tanggungjawab yang digalas. Aspek paling dekat buat mahasiswa adalah penglibatannya dalam akademik, dakwah dan persatuan.
Turut hadir Pengerusi HALUANSiswa Nasional Sdr Solehuddin Shuib. Beliau dalam ucapannya menjelaskan dan mengingatkan peserta agar keseimbangan antara tiga aspek ini perlu dititik beratkan. Apa jua tindakan dan kerja yang kita buat adalah ibadah. Ketekunan di dalam akademik adalah ibadah kerana ilmu itu hasanah. Keaktifan dalam dakwah adalah ibadah kerana di situ ada sa'adah. Keterlibatan dalam persatuan adalah rahmat kerana di situ ada manusia untuk kita kenalkan Islam padanya.
Program ini juga dihiasi dengan jamuan berbuka puasa, solat sunat terawikh berjemaah, qiamullail, kuliah subuh serta sahur bersama.















