Assalamu'alaikum wbth,
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Sempena kita menyambut peristiwa Nuzul Quran dalam bulan Ramadan al Mubarak ini, kita mengajak umat Islam seluruhnya agar menyedari bahawa kitab suci Al Quran adalah amanah besar yang menjadi tanggungjawab orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Kita wajib berusaha agar tuntutan Al Quran dapat ditatbiqkan dalam kehidupan umat ini.
Dr. Solah Al Khalidi di dalam kitabnya 'Mafatih Litta’amul Ma’al Quran’ menjelaskan ada empat matlamat utama Al Quran.
a. Al Quran membawa hidayah kepada jalan Allah SWT agar betul seluruh aspek kehidupan individu dan ummah.
b. Al Quran bermatlamatkan melahirkan dan membentuk individu-individu yang mempunyai syakhsiyah Islam, berpindah daripada reality jahiliyah yang buruk kepada Islam berpaksikan iman dan tauhid kepada Allah SWT.
c. Al Quran juga bermatlamat melahirkan dan membentuk masyarakat Islam Qurani
d. Al Quran juga bermatlamatkan melahirkan dan membentuk kepimpinan umat yang sentiasa merujuk dan mengikut panduan dari wahyu Allah, mengikut arahan syara’.
Demikianlah empat perkara besar yang menjadi matlamat Al Quran. Oleh itu di samping kita membaca Al Quran di dalam bulan yang mulia ini, perlulah kita berusaha memahami tuntutan-tuntutan allah SWT dari ayat-ayat Al Quran dari masa ke masa, tidak terbatas untuk memperelokkan bacaannya semata-mata.
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Kita sudah berada di pusingan akhir Ramadan. Sepatutnya di bahagian akhir Ramadan inilah perlu kita melipatgandakan taqarrub (amalan-amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT). Terdapat di dalam sunnah Ar Rasul SAW bahawa baginda melipatgandakan ibadah kepada Allah SWT. Tumpuan yang khusus diberikan kepada ihya’ layali (hidupkan malam) Ramadan dengan solat, tilawah, zikrullah, istighfar dan do’a dan I’tikat sehingga baginda ar Rasul SAW mengejutkan ahli keluarganya agar sama-sama dapat bangun menghidupkan malam Ramadan.
Sabda Ar Rasul SAW:
Adalah Rasul SAW apabila menjelang 10 hari yang akhir dari bulan Ramadan, maka baginda menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah dan mengejutkan ahli keluarganya bangun ibadah… - Al Hadith
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian
Di dalam kita menyambut Ramadan dengan, kita melihat saudara kita di Gaza, di bumi Palestin dan di Pakistan dirundung malang. Kita melihat musibah yang berlaku ke atas mereka dengan hati yang penuh kesedihan dan prihatin. Di sebalik musibah yang menimpa saudara kita, Allah beri kita peluang. Allah memberikan kita peluang untuk membantu dan menyumbang sekadar yang kita mampu bagi meringankan penderitaan mereka.
Benarlah apa yang disabdakan oleh Ar Rasul SAW:
"Barangsiapa yang tidak mengambil berat hal ehwal kaum Muslimin, maka ia bukan tergolong dari kalangan mereka." - Al Hadith
Justeru itu, saya ingin mengajak HS sekalian dan kalangan warga kampus agar terlibat dengan apa sahaja kempen bantuan yang berkaitan. Semoga kita diberkati dan dirahmati Allah SWT di dalam bulan yang mulia ini, insha Allah.
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian
Akhir kata, bersempena dengan hari kemerdekaan negara kita yang ke-53 ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan `Selamat Hari Kemerdekaan’. Kemerdekaan, pada hakikatnya, bukanlah semata-mata membebaskan diri dari belenggu penjajahan asing. Akan tetapi lebih dari itu, kemerdekaan yang hakiki adalah kemampuan untuk membebaskan diri dari belenggu hawa nafsu. Manusia yang merdeka adalah manusia yang mampu memerdekakan dirinya dari berbagai penghambaan selain kepada Tuhannya.
Selamat menyambut hari kemerdekaan negara kita dan selamat menghidupkan 10 malam akhir Ramadan 1431H.
Al Faqir Ilallah,
Sdr Solehuddin Shuib
Pengerusi HALUANSiswa Nasional
Shah Alam, Selangor
30 Ogos, 2010
20 Ramadan, 1431H













