Assalamu'alaikum wbth,
Bahang Ramadan sudah mulai terasa kepada kita semua. Jika kita diperpanjangkan umur, kita akan bertemu bulan Ramadan al Mubarak, bulan yang agung dan penuh barakah. Semestinya kita berazam dan berusaha agar Ramadan pada kali ini akan lebih baik dari Ramadan yang lalu.
Allah SWT berfiman dalam surah Al Baqarah ayat 183:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"
Semasa sesi perbincangan dengan para mahasiswa/i sekitar WT baru-baru ini, apabila ditanya kepada mereka apa azam mereka untuk Ramadan kali ini. Mereka memberikan banyak jawapan yang positif yang telah diberikan. Antaranya
· Memperbanyakkan tilawah Quran
· Bertadarus dan memahami makna-makna Al Quran
· Memperbanyak qiyamulllail
· Zikrullah
· Banyak bersedekah
· Merancang agar dapat solat terawikh berjemaah
· Mencari Malam Qadar
· Menjaga mata dan lidah daripada melakukan maksiat
Syabas diucapkan kepada anda, kerana di dalam jiwa anda masih kuat ruh Islamnya, walaupun mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai suasana luar yang penuh cabaran. Inilah contoh para mahasiswa/i yang digambarkan oleh Rasul SAW sebagai salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan Allah sWT di akhirat kelak, insha Allah.
Saya juga ada bertanya mereka apa yang mereka faham mengenai hakikat taqwa. Ini kerana daripada ayat Al Baqarah ayat 183. Tingkatan taqwa ini bukanlah satu jaminan bagi mereka yang melaksanakan puasa. Mereka memberi jawapan yang pelbagai-bagai. Namun dapatlah diringkaskan di sini taqwa mempunyai tiga pengertian berikut:
1.Suatu hari Saidina Umar Radhiallahu’anhu pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang taqwa, “Apakah yang dimaksudkan tentang taqwa ya Ubai. Kata Ubai, “Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “Ya, saya pernah”. Kata Ubai, “Apakah yang engkau buat?”. Kata Umar, “ Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah”. Kata Ubai, “Itulah taqwa.”
2.Taqwa adalah satu pengawasan. Untuk sampai ke peringkat taqwa seperti ini, maka seseorang itu perlulah melalui jalan iman dan memahami benar-benar akan Islam terutama perkara-perkara yang fardhu dan wajib difahami. Kalau tidak melalui jalan ini maka seseorang tidak boleh menjadi seorang yang bertaqwa pada Allah Subhanahuwata’ala dalam ertikata yang sebenarnya. Dia tidak akan tahu hendak mengawasi diri, dia akan terpijak duri dan tidak tahu mengikuti nilai Allah Subhanahuwata’ala. Justeru itu seseorang mestilah terlebih dahulu beriman pada Allah dan Islam sepenuhnya.
3.Taqwa juga adalah neraca. Taqwa membezakan di antara buruk dengan baik. Taqwa kepada Allah juga akan memurahkan rezeki. Taqwa akan memudahkan segala kesusahan. Taqwa menyebabkan pintu syurga Allah akan dibuka.
Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Urusetia HS juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan kepada para siswi/i yang selesai berkonvo pada minggu lalu di IPT masing-masing. Anda diberi skrol hasil perit jerih 3-4 tahun di menara gading, disaksikan oleh ibubapa dan sahabat handai serta rakan-rakan. Semua ini juga merupakan satu nikmat Allah SWT.
Bagi yang mampu teruskan usaha menyambung pengajian ke peringkat yang tertinggi, kerana Islam dan begara amat memerlukan potensi dan kemahiran ada. Segala kekuatan dan kemahiran yang ada boleh disumbangkan kepada pembangunan ummah.
Firman Allah SWT di dalam surah Al Anfal ayat 60
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi..
Semasa berprogram dengan pelajar SiswiHALUAN di Port Dickson baru-baru ini, ada di antara mereka yang menyatakan kerisauan terhadap mereka apabila tamat belajar. Antara kebimbangan mereka ialah berkaitan penerusan dan kesimbungan dakwah dan tarbiah selepas IPT.
Sebenarnya, untuk seseorang futur/hilang/MIA dari persada dakwah dan tarbiah selepas tamat pengajian adalah tinggi. Sebenarnya ada 3 jerangkap samar (bobby traps) yang boleh menyebabkan seseorang itu futur/hilang/MIA. Antaranya ialah:
· Fasa tamat belajar ke alam kerja,
· Fasa perpindahan tempat,
· Fasa masa bujang ke alam berumah tangga
Realiti semasa belajar tidak semasa dengan realiti semasa kerja. Realiti di lokaliti tertentu tidak sama dengan realiti di tempat yang lain. Begitu juga realiti semasa bujang trang tang tang tidak sama dengan realiti semasa berumah tangga.
Firman Allah SWT di dalam surah Al Anfal ayat 42:
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu. Tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.
Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah saw memegang kedua bahu saya seraya bersabda : Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara “, Ibnu Umar berkata : Jika kamu berada di petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesehatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu" -(Riwayat Bukhori)
Justeru itu, kita perlu banyak berdo’a kepada Allah SWT agar kita semua dapat istiqomah di atas jalan dakwah dan tarbiah ini sehingga kita dipanggil pulang berjumpa dengan Allah SWT.
Penutup
Marilah kita sama-sama pertingkatkan diri kita bagi mendapat maqam taqwa dan juga berusaha untuk kita terus istiqomah di atas jalan dakwah dan tarbiah ini sepanjang hayat kita. Kerehatan yang sebenar ialah apabila kita dapat masuk syurga Allah SWT dalam keadaan Allah redha kepada kita.
Ramadan Karem!
Al Faqir Ilallah,
Sdr Solehuddin Shuib
Pengerusi HALUANSiswa Nasional
Shah Alam, Selangor
9 Ogos, 2010
28 Shaa’ban, 1431H
H A L U A N S i s w a
Bersahsiah Dekat & Bererti













