H A L U A N S i s w a

Bersahsiah Dekat & Bererti

You are here: Laman Utama Bicara Pengerusi

Bicara Pengerusi

Menghadapi Semester Baru

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, setinggi rasa syukur kita panjatkan kepada Allah SWT, biarpun kita sering lalai dan lupa, alpa dan lepa, kurang merasai keagungan Allah SWT, kurang merasai kebesaran Allah SWT. Allah SWT tetap ingat kepada kita. Terus disalurkan kenikmatan demi kenikmatan. Terus digandakan pelbagai kesenangan dan kemewahan. Subhanallah.

Marilah kita merenung amal dan perbuatan diri kita kembali, melihat segala kekurangan dan kelemahan diri sebagai satu agenda perubahan yang harus dilaksanakan. Benar, kita tidak akan sempurna dan akan sentiasa melakukan kesalahan dan kesilapan. Tetapi, janganlah diulang kesalahan dan kesilapan yang sama. Haruslah diusahakan untuk dibaiki dan diperelok. Kerana, usaha pembaikan diri itulah bakal dikira Allah SWT sebagai amal jihad kita. Jihad melawan kelemahan dan kekurangan diri yang sebenarnya hanyalah dibelenggu nafsu kita semata-mata.

Alhamdulillah, Allah SWT mengizinkan perjalanan kehidupan kita di tahun 2011 hampir mencapai penghujungnya. Biarpun masih berbaki 4 bulan. Tetapi, ia bakal kita rasakan begitu singkat dan pantas. Seharusnya dilihat dan dikaji kembali apakah amal selama 8 bulan itu membuahkan hasil2 yang diharapkan, baik terhadap peningkatan diri sendiri juga gerak kerja DK disekeliling kita.

Sahabat2 yang disayangi Allah SWT,

Kemasukan pelajar2 baru ke IPT hanya berbaki kurang lebih seminggu sahaja lagi. Seharusnya, telah tergambar apakah rencana yang bakal kita laksanakan bagi menyambut bakal2 pewaris DnT ini. Ya, biarpun kebanyakkannya belum pernah disentuh kenikmatan memiliki fikrah ini, mereka sebenarnya memiliki potensi besar dan bakal menguntungkan perniagaan kita ini. Sekiranya kita mampu bersama-sama menyusun gerak kerja di lokaliti masing2 untuk meyakinkan dan menambat hati mereka kepada Islam dan fikrah ini.

Kita memahami bahawa tugasan mengajak dan mempromosikan fikrah ini bukanlah sesuatu pilihan yang hanya dijalankan ketikamana kita ingin laksanakan dan ditinggalkan setelahmana kita hilang keyakinan untuk melaksanakannya. Tetapi, tugasan ini adalah satu kewajipan yang tertanggung dibahu-bahu kita dan seluruh manusia yang beriman.

Tugasan DnT adalah amanah Allah SWT, yang memerlukan komitmen seluruh jasad, jiwa, mental dan emosi kita untuk melaksanakannya. Menuntut masa lapang dan sibuk kita, masa muda dan tua kita, masa sihat dan sakit kita, masa kaya dan miskin kita, dan seluruh masa dalam kehidupan kita.

Tuntutan pelaksanaannya memerlukan kita sentiasa untuk berdiskusi dan membuat keputusan dalam melaksanakannya. Memerlukan kesanggupan bergerak dan beramal tidak semata-mata kata-kata dan ucapan semangat. Memerlukan kesabaran bagi melihat hasil dan tidak hanya mengharapkan hasil tanpa tindakan. memerlukan kepada penyelesaian masalah dan tidak hanya membicarakan masalah. Memerlukan kepada hikmah dan tidak hanya himmah. Memerlukan persediaan yang luar biasa dan tidak yang biasa-biasa.

Sahabat2 yang dirahmati Allah SWT,

Setiap lokaliti dan tempat adalah berbeda dan berlainan geografinya dalam konteks DK. Penelitian dan pemerhatian secara syura haruslah sentiasa diwujudkan. Segala yang disyurakan sewajibnya merujuk kepada Al-Quran dan Hadith. Elakkan logik akal semata-mata. Dan nilailah sesuatu keadaan dan permasalahan sesuai dengan suasana dan keadaan setempat.

Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT, memohon petunjuk, selalulah mentadabbur Al-Quran dan kitab2 hadith yang sohih. Meneliti dan menghadamkan kitab-kitab fikrah yang asas. Sentiasa merujuk dan bertanya kepada syuyukh2 yang lebih arif dan pakar.

sahabat2 yang diredhai Allah SWT,
Sebelum melangkah ke semester baru, perlulah diberikan perhatian dan penekanan kembali terhadap beberapa aspek asas dalam melaksanakan DnT. Ketidakseimbangan dalam penekanan DnT bakal mencacatkan segala gerak kerja DK. Mungkin aspek2 tarbiah dan dakwah tidak pernah kita abaikan, tetapi sejauh manakah keberkesanannya?

Sejauh manakah tarbiah ahli2 baru yang telah melahirkan 'amilin yang sedar dan faham? Sedar akan keperluan untuk ditarbiah, faham akan kewajipan untuk berdakwah. Sejauh manakah projek2 dakwah melahirkan kesedaran masyarakat kampus terhadap Islam?

Haruslah kita perjelaskan kembali. Menyusun gerak kerja dengan lebih tersusun teratur dan lebih impaknya agar kita tidak hanya sekadar berprogram semata-mata. Keaslian jalan dakwah dan program2 tarbiah diukur atas dasar peningkatan iman kita. Juga atas dasar penyebaran kesedaran islam yang terbina. Bukanlah jumlah yang hadir dan sebagainya. Ukuran sebegini kita harus jelas dan usahakan untuk mencapainya. insyaAllah.

Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati usaha kita semua. InsyaAllah.
Semoga kita bersegera dalam beramal. InsyaAllah.

 

MUHAMMAD SIDDIQI B JAMALUDDIN

Presiden SiswaHALUAN,

HALUANSISWA Nasional.

   

Beramal dengan ISLAM dan IMAN.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, selayaknya setinggi rasa syukur kita hadirkan dalam diri, memuji keagungan Allah, merasai kekuasaan Allah meliputi segala-gala yang terlihat dan tidak terlihat. Allah mengurniakan kita peluang hidup ini, memperbaiki amalan-amalan diri ini, agar dapat bertemuNya kelak dalam keadaan terbaik.

Selawat dan salam ke atas junjungan kekasih Allah SWT, Muhammad SAW dan juga para ahli keuarga baginda serta sahabat-sahabat baginda. Allah SWT telah mengurniakan kita, ummat akhir zaman seorang pemimpin dan penunjuk jalan kebenaran ini. Baginda mencontohkan kita satu jalan yang suci dan murni, jalan yang paling selamat untuk pulang dalam keadaan yang paling mulia bertemu Allah SWT nanti. Salallahu’ala Muhammad, Sallahu’alaihi wasallam.

Alhamdulillah, kesempatan kali ini, Allah mengizinkan peluang untuk bersama-sama memperingati diri ini dan sekalian penggerak siswa dan siswi. Khaifahalukum? Khaifa imanukum? Khaifa ‘ibadatukum? Semoga semuanya baik-baik belaka, sihat wal’afiah.InsyaAllah.

Siswa dan siswi yang dimuliakan Allah,

Melihat kepada perjalanan hidup baginda Rasulullah SAW dan para sahabat-sahabat baginda, kita seharusnya menanamkan satu azam yang tinggi dan tekad yang bersungguh-sungguh untuk tampil seperti mereka. Islam dan iman yang mereka gambarkan bukanlah semata-mata teori yang diwahyukan. Islam dan iman yang mereka pamerkan bukanlah semata-mata kata-kata nasihat yang menginsafkan. Tetapi, Islam dan iman yang lahir dari diri mereka adalah Islam dan iman yang sebenarnya.

Bukanlah bermaksud Islam dan iman kini telah dipesongkan dan tidak yang sebenarnya. Tetapi, Islam dan iman yang berbaki kini hanyalah semata-mata ilmu yang dibukukan, ceramah-ceramah lantang yang dikasetkan dan diperdengarkan tanpa pengamatan mendalam yang penuh dengan kesedaran Iman dalam hati. Bagaimana pula hakikatnya hubungan kita dan Islam? Bagaimana Iman yang terdapat pada kita?

Siswa-siswi yang dirahmati Allah,

Perkara utama dan terpenting adalah Islam dan iman itu kita hadirkan dan wujudkan di dalam dan luar diri kita. Islam dan iman itu tidaklah hanya kita sebut-sebut dan kita katakan tanpa tindakan-tindakan sepatutnya. Jika kita menyatakan Islam dan iman itu indah, adakah pada diri kita, kita pamerkan keindahan Islam dan iman itu? Jika kita menyatakan Islam dan iman itu adil, adakah kita tonjolkan sifat-sifat adil dalam diri kita?

Apa yang harus kita bimbangkan, jika perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Apa yang kita pamerkan bertentangan dengan sifat Islam dan iman itu sendiri. Naudzubillahi min zalik.

Seperti mana sabda baginda Rasulullah SAW:

“Iman itu bukanlah angan-angan atau cita-cita, tetapi iman itu adalah apa yang tertanam dalam hati lalu dibuktikan dengan amal”

Oleh itu, hendaklah kita buktikan islam dan iman yang kita dokongi ini dengan amal dan akhlak peribadi kita. Haruslah kita berusaha mewujudkan nilai-nilai Islam dalam diri kita biarpun sedikit, seterusnya, kita usahakanlah untuk mewujudkan nilai Islam dan iman itu dalam suasana sekeliling kita. Menggerakkan suasana-suasana sekeliling untuk merasai dan menyedari akan kesyumulan Islam. Inilah kaedah dakwah yang telah ditunjukkan baginda Rasulullah SAW.

 

Siswa-siwi yang dikasihi Allah SWT,

Masyarakat Islam yang wujud pada masa ini kabur dan samar-samar akan Islam yang sebenarnya. Mereka melihat Islam hanya tidak lebih daripada solah, zakat, puasa dan ibadah haji. Mereka menyangkakan Islam mereka telah cukup sempurna apabila segala perkara di atas telah mereka laksanakan. Walhal, hubungan hati mereka masih jauh dengan Allah, malahan mereka juga ragu-ragu dengan kewujudan Allah. Jiwa mereka masih dahagakan petunjuk dan bimbingan.

Keadaan ini haruslah kita sedari dan bersama-samalah kita membuka belenggu pemikiran ini. Bersama-samalah kita rancakkan medan dakwah kita ini. Kita gerakkan seluruh tenaga dan kudrat yang ada untuk kita sampaikan dan khabarkan kepada mereka bahawa Islam dan iman itu adalah lebih indah daripada apa yang mereka sangkakan. Islam dan iman itu lebih lazat dan mengasyikkan daripada apa yang mereka rasakan. Islam dan iman itu lebih mendamaikan dan menghiburkan daripada apa yang mereka hayati.

Melihat kepada suasana kini, tidakkah kita melihat bahawa seolah-olah masyarakat menggap Islam itu suatu dongeng sahaja. Mereka melihat Iman itu hanyalah satu khayalan ilusi yang sukar direalisasi. Mereka melihat Taqwa itu seakan-akan mitos yang mustahil dikecapi. Mereka kebuntuan, mereka tidak melihat Islam sepertimana kita lihat, mereka tidak merasai Iman sepertimana kita rasai, mereka tidak dididik sepertimana kita dididik. Adakah mereka yang memilih untuk begitu? Adakah kita yang memilih untuk begini?

Siswa-siswi yang disayangi Allah SWT,

Alhamdulillah, seharusnya kita begitu berbesar hati dan dengan penuh rasa insaf merasai betapa Allah kasihkan kita. Betapa Allah telah muliakan kita. Menempatkan kita dikalangan pendakwah, mengajak dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah serta melarang kepada kemungkaran. Haruslah kita sedari, kita seterusnya bertanggungjawab mengajak masyarakat yang lain untuk bersama merasai kenikmatan Islam dan Iman ini.

Islam dan Iman ini bukanlah untuk dirasai berseorangan lalu mengabaikan masyarakat sekeliling. Bukankah Rasulullah SAW telah mencontohkan hal ini kepada kita? Baginda tidak menyendiri, hanya beribadah sendirian kepada Allah SWT, malahan baginda bersungguh-sungguh sehingga sanggup mengadaikan nyawa menyebarluaskan kenikmatan ini. Baginda sentiasa memikirkan umatnya yang masih jauh dari kerahmatan Islam dan Iman ini dan menoakan mereka agar diberikan petunjuk oleh Allah SWT.

Masyarakat yang hadir bersama kita dizaman ini adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, adakah kita masih mampu berdiam diri, duduk memangku lengan disofa-sofa empuk, berbaring ditilam-tilam lembut? Tahukah kita ini adalah tanggungjawab? Tanggungjawab bukanlah pilihan tetapi adalah kemestian dan semestinya dilaksanakan sebelum bertemu Allah nanti.

Siswa-siswi yang disucikan Allah SWT,

Sentiasalah kita kembali kepada Allah, lahirkanlah keyakinan hanyasanya kepada Allah, tempat pegantungan hanyasanya kepada Allah, memohon ampunan dan bantuan hanyasanya kepada Allah. Menyedari segala yang kita miliki, kita kecapi dan kita perolehi semuanya bakal kembali kepada Allah. Kita meyakini bahawa jiwa dan diri kita juga bakal kembali kepada Allah SWT.

Sentiasalah kita berusaha bersama-sama untuk lebih dekat kepada Allah SWT, lebih meyakini akan Islam dan Iman yang kita dokongi ini. Sentiasalah juga kita pamerkan Islam dan Iman dalam amal perbuatan hanyasanya demi meraih keredhaan Allah SWT. Laksanakanlah kewajipan berdakwah ini dimana jua kita berpijak. Semoga Allah merahmati dan memberkati segala usaha kita. insyaAllah. Bersama-samalah kita beramal dengan Islam dan Iman.

Wallahualam.

Muhammad Siddiqi b Jamaluddin

Presiden Siswa HALUAN.

 

   

Hidupkan hati anda!

Kehidupan kita sebenarnya merupakan satu perjalanan yang amat jauh destinasinya. Sedar atau tidak, destinasi perjalanan kita adalah antara dua, neraka dan syurga. Kedua-dua jalan ini tidak pernah dan tidak akan ada titik pertembungan (intersection point).
Dr Majdi Al-Hilali menyatakan dalam bukunya Menjadi Hamba Rabbani; Tidak ada perjalanan menuju syurga Allah kecuali dengan hati yang hidup. Tanpa hati yang hidup, perjalanan kehidupan kita sebenarnya menuju neraka Allah. Na’udzubillahhiminzalik. Bagaimana hati yang hidup? Hati yang memiliki iman adalah hati yang hidup. Tempat dan lokasi iman dalam diri manusia adalah di hati.

Mari kita lihat hati kita seketika. Selami hati anda dengan penuh penghayatan. Adakah tempat untuk iman di hati ini? Masih hidupkah hati ini? Atau tidak ku kisah tentang hati ini. Biarlah ia mati atau hidup.

Tempat dan lokasi iman dalam diri manusia adalah di hati. Jika di hati penuh dengan jahiliyah atau amal maksiat, hilanglah tempat tinggal iman di hati. Hal ini kerana, iman sekali-kali tidak akan bercampur dengan jahiliyah. Selagi mana amal maksiat tidak dibuang dan hati tidak dibersihkan dari rawasib (karat) jahiliyah, maka iman akan kehilangan tempat tinggal. Perkara yang amat ditakuti ialah ketika mana nyawa ditarik dari tulang rusuk dalam keadan hati yang mati dan tidak dapat pengampunan dari Allah SWT. Na’udzubillahhiminzalik.

Golongan hati yang sakit

Ramai diantara kita, hatinya tidak mati, tetapi hatinya sakit. Pelbagai jenis penyakit dan luka dapat ditemui. Kata Mustafa Masyhur, “Hari demi hari luka-luka baru menjaluri tubuh ummat ini sedang luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh”.

Rasulullah saw. bersabda, “….Bahwa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh amalnya, dan apabila ia itu rosak maka rosak pula seluruh perbuatannya. Gumpalan daging itu adalah hati.” } (HR Imam Bukhari)

Perbuatan kita dapat menggambarkan tahapan penyakit hati yang dialami. Maka sebenarnya, kita sendiri lebih mengetahui keadaan hati kita. Malangnya, ramai yang tidak dapat mengenal pasti penyakit-penyakit hati yang semakin hari semakin parah. Ini tanda hati mereka dalam keadaan nazak.

Sedih melihat ummat yang menjadi mangsa masyarakat. Mereka tidak pernah menghendaki hati yang mati, tetapi hati mereka dipaksa untuk mati. Kata Syeikh Ramadhan Al Buti, "Remaja ini adalah mangsa masyarakat". Justeru, selamatkan diri kita dari menjadi mangsa masyarakat.

Rawatannya

Penyakit-penyakit dan luka-luka hati ini tidak dapat dirawat oleh doktor-doktro pakar mahu pun melalui ubatan tradisional. Untuk merawat hati yang sakit tidak semudah menelan berberapa biji panadol. Firman Allah SWT:

{“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”}
(Ar Raad : 11)

Tidak ada jalan pintas dalam proses merawat hati yang sakit. Ia perlu bermula dari diri sendiri. Perlu ada kemahuan dan iltizam yang tinggi untuk berubah. Perubahan yang dimulakan dengan persediaan hati untuk berubah. Jika hati tidak bersedia, maka perubahan yang dilakukan tidak akan kekal lama.

Hanya dengan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah mampu merawat hati sekali gus mengubah kehidupan kita. Ini telah terbukti dengan sirah para sahabat Rasulullah SAW.

Siapa tidak kenal Umar al-Khattab ra, dari sang singa yang bengis berubah menjadi manusia yang mempuyai hati yang begitu lembut dan sensitif dengan dosa.

Mus’ab bin Umair ra, pemuda rupawan dan bangsawan yang diminati ramai gadis. Minyak wangi yang diguna tidak dimiliki oleh orang lain ketika itu. Beliau sanggup meninggalkan kemewahan demi memiliki syurga Allah. Di saat beliau wafat, kain untuk menutup tubuhnya tidak cukup. Bila ditarik untuk menutup kaki, terdedah bahagian kepalanya. Ditarik kain untuk tutup kepala, terdedah bahagian kakinya.

Bilal bin Rabbah, dari seorang hamba kepada seorang yang paling rapat dengan Rasulullah. Dari seorang khadam yang hina berubah menjadi salah seorang ahli syurga. Subhanallah.

Mereka dididik dengan al-Quran dan sunnah serta dapat sentuhan al-quran dan sunnah di hati mereka. Bagaimana untuk kembali kepada al-quran dan sunnah? Membaca al-quran setiap hari? Jaga solat lima waktu? Tidak tinggal kelima-lima rukun Islam?
Jawapannya tidak, tidak, dan tidak cukup sekadar itu.

Rasulullah tidak diutuskan hanya untuk mengajar rukun Islam dan rukun iman. Tetapi baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

{“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”}
(HR Muslim)
Oleh itu, tidak cukup dengan solat, puasa, baca al-quran, haji, dan zakat. Kita perlu mengambil dan mengamalkan akhlak Rasulullah.

Penutup

Cara untuk kembali kepada al-quran dan sunnah ialah dengan melalui proses tarbiyah Islamiyah (didikan, asuhan Islam) seperti para sahabat Rasulullah yang ditarbiyah oleh baginda. Hasil didikan baginda, lahirlah sekumpulan manusia hebat yang tidak akan lahir selepas mereka. Walhal, Rasulullah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat yang amat rosak. Golongan kuat menindas golongan lemah. Dunia seperti hutan rimba. Wanita menjadi objek pemuas nafsu. Kebathilan bermaharaja. Kemudian Rasulullah bangkit dengan membawa Islam dan mendidik para sahabat selama 13 tahun dengan didikan iman (tarbiyah imaniyah). Hasilnya, sekumpulan manusia hebat yang mampu menggegarkan dunia sehingga menakluk dua per tiga dunia.

Kesimpulanya, untuk merawat hati, menghidupkan hati, untuk melakukan perubahan perlu bermula dan dimulakan dengan diri kita. Segala usaha perlu digerakkan agar tidak ketinggalan seperti kata isteri Abu Muhammad Habib al Farisi membangunkan suaminya pada malam hari, “Bangunlah wahai Habib kerana perjalanan kita masih jauh, bekal kita sedikit dan rombongan orang-orang soleh telah berjalan di depan kita, sedangkan kita masih berdiam”.

 

Abdul Muta`al b Nawawi

Presiden SiswaHALUAN

Zon Utara

   

Kemuliaan Melaksanakan AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR-

Bismillahirahmanirrahim…

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, di atas kurniaan kenikmatan demi kenikmatan biarpun tanpa diminta. Inilah hakikat betapa Allah itu besar kasih sayangnya terhadap hamba-hambaNya. Subhanallah…Allahuakhbar..

Selawat dan salam kita tujukan kepada kekasih agung, Muhammad SAW dan para-para pendokong risalah tauhid bawaan baginda. Baginda mencetuskan sinar harapan kepada seluruh ummat akhir zaman ini. Di saat Syurga itu seakan-akan mustahil untuk di kecapi dan dinikmati, baginda membuka jalan menuju kenikmatan teragung ini. Di kala neraka dirasakan tempat yang selayaknya dihuni diri yang hina ini, baginda membuka ruang penyucian diri ini agar HATI dan JIWA bisa tampil indah di hadapan Allah nanti dan dijauhkan neraka sejauh-jauhnya.

Ya Allah, moga-moga bekal yang sedikit ini mampu memungkinkan kami hadir bertemuMu dalam keadaan yang paling Mulia di sisiMu. Moga-moga kemaksiatan itu hanyalah disebabkan kelalaian yang tidak kami sengajakan dan bukan kerana kami merasai nikmat dalam melakukannya. Ya Allah, bantulah kami agar kami sentiasa berada dalam kerahmatan dan keredhaanMu ya Allah. Amin ya Rabal’alamin.

Sidang siswasiswi yang dirahmati Allah SWT,

Pertamanya, kita mengatur setinggi rasa syukur di atas pemberian nikmat IMAN dan ISLAM ini. Kesyukuran itu kita zahirkan dalam segala gerak tingkah laku kita, agar kita senang dan mudah dikenali sebagai orang-orang yang bertaqwa, bukannya golongan munafik, bukannya golongan berilmu yang tidak mengamalkannya dan juga bukannya golongan jahil yang amalannya penuh kesilapan dan sesat.

Naudzubillahi min zalik.

Allah SWT mengizinkan kita dibarisan yang mulia ini, telah Allah nyatakan bahawasanya sebaik-baik dan semulia-mulia ummah manusia itu adalah mereka yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Firman Allah SWT:

“Kamu(ummat Islam) adalah ummat TERBAIK yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf(kebaikan), dan mencegah dari yang mungkar(keburukan), dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakkan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Surah ‘Ali Imran 3: Ayat 110.)

Firman Allah ini jelas memberikan gambaran kedudukan sebenar kita sebagai ummat Islam. Haruslah kita merasai kemuliaan menjadi ummat Islam. Merasai betapa mulianya dan terbaiknya kita di sisi Allah SWT. Betapa Allah mengiktiraf hamba-hambaNya yang melakukan serta mengajak kepada kebaikan(makruf) dan meninggalkan serta mencegah kepada kemungkaran(mungkar) dan beriman dengan sebenar keimanan kepada Allah SWT.

Sidang siswasiswi yang dikasihi Allah SWT,

Kemuliaan itu tinggi nilainya dan hanya Allah yang mampu menilainya. Kemuliaan itu meninggikan darjat seseorang hamba kepada darjat kekasih Allah, hamba yang dicintai Allah sepertimana para rasul-rasul dan nabi-nabi juga para salafussoleh. Kemuliaan ini bakal membuka hijab di antara mereka dan juga Allah SWT di akhirat nanti, mereka bakal dipertemukan dengan Allah SWT dan menikmati kenikmatan teragung di Syurga Allah, melihat dan memandang wajah Allah SWT.Subhanallah.

Haruslah kita menyedari bahawa hakikat kemuliaan ini adalah bersandarkan kepada kemuliaan Islam itu sendiri bukan kerana diri kita yang lemah dan hina ini. Tanpa diberikan kenikmatan Islam dan Iman ini, mana mungkin kita mampu mencapai darjat kemuliaan di sisi Allah SWT.

Sepertimana Allah berfirman:

“Dan kemuliaan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang beriman.” (Surah Al-munafiqun 63: Ayat 8)

Ayat ini menggambarkan bahawa antara sifat-sifat orang yang beriman adalah mereka merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT serta janji-janjiNya. Mereka tidak merasa lemah dan berdukacita. Bahkan sentiasa merasakan satu kemuliaan menjadi golongan yang beriman.

Firman Allah SWT:

“Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” (Surah ‘Ali-Imran 3: Ayat 139)

Hakikat ini dapat dilihat ketika peristiwa hijrah sahabat-sahabat Rasulullah SAW ke Habsyah. Apabila para sahabat masuk mengadap raja Najasyi, mereka diminta untuk sujud menghormati raja Najasyi, tetapi ja’far bin Ali Talib yang dilantik Rasulullah menjadi ketua rombongan berkata, “Kami adalah suatu kaum yang tidak sujud kecuali kepada Allah”. Peristiwa ini menunjukkan betapa para sahabat-sahabat baginda rasulullah merasa satu kemuliaan untuk hanya sujud kepada Allah, tidak selainNya.

Sidang siswasiswi yang dirahmati Allah,

Hakikat kemuliaan ini haruslah tertanam jauh di lubuk hati terdalam. Keyakinan akan janji-janji Allah akan hari pembalasan seharusnya menjadi pedorong dan pembakar semangat melaksanakan amal-amal Islami. Seharusnya kita terus menerus memperkukuh dan memperkuat setiap gerak kerja amali dakwah kampus di lokaliti masing-masing. Berusaha memartabatkan dan meninggikan kalimah tauhid ini di mana sahaja kita berada. Berusaha menyebarluaskan kesedaran Islam ini kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi di seluruh Malaysia ini. InsyaAllah.

Kita harus meyakini bahawa urusan amali dakwah ini adalah satu kewajipan dan tutntutan kepada seluruh muslim yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Urusan menegakkan seluruh ajaran Islam ini telah dimulai oleh para Nabi dan para Rasul sebelum kita hinggalah ia sampai kepada kita untuk menyambung urusan ini. Kita amat membimbangi sekiranya tanpa melaksanakan apa yang kita sedari dan fahami ini, kita bakal dilaknat Allah SWT.Naudzubillah.

Seperti firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan(yang jelas) dan petunjuk setelah menerangkan kepada manusia dalam al-kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati pula oleh smua makhluk yang dapat melaknati”. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 159)

Jika urusan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran ini kita abaikan, malah tidak kita rasai urgensi tuntutan melaksanakannya, sesungguhnya belum terbentuk keimanan di dalam diri kepada Allah SWT:

Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran ia hendaklah mengubahnya dengan tangannya(kuasa), sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya(teguran), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya(tidak redha dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sekadar sebesar biji sawi.” (Hadith riwayat Tirmizi)

Sabda baginda yang lain:

“Wahai manusia,sesungguhnya Allah berfirman kepada mu: Serulah(manusia) berbuat ma’ruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja mungkar sebelum(tiba satu waktu di mana) kamu meminta, lalu Aku tidak lagi menerimanya, kamu memohon ertolongan lalu Aku tidak menolong kamu lagi”. (Hadith riwayat Ibn Majah dan Ibn Hibban)

Sidang siswasiswi yang dikasihi Allah SWT,

Hakikat urgensi melaksanakan tugasan amar ma’ruf nahi mungkar ini haruslah kita rasai sebagai satu kewajipan dalam kehidupan ini. Inilah kemuliaan yang diberikan Allah kepada kita. Kemuliaan menyambung legasi para Rasul-rasul, Nabi-nabi, para salafussoleh sebelum ini. Kemuliaan untuk bersama dalam barisan kehormat ini, barisan yang dimuliakan Allah SWT, barisan yang sentiasa dihormati dan disanjungi mereka-mereka yang dilangit.

Inilah kemuliaan yang tidak pernah kita memintanya. Inilah kenikmatan kurniaan Allah. Pilihan ini adalah kenikmatan teragung pemberiaan Allah. Semoga kita merasai kemuliaan ini. Kemuliaan melaksanakan AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR. InsyaAllah. Wallahu’alam.

 

Muhammad Siddiqi b Jamaluddin

Presiden SiswaHALUAN,

HALUANSISWA Nasional.

   

Perangkap 'AQIDAH di IPT

Bismillahirahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Alhamdulillahirabbil ‘alamin…
Setinggi rasa syukur kita hadirkan di dalam hati, Allah SWT menganugerahkan kita nikmat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Inilah kenikmatan teragung yang hanyasanya dapat menjamin kesejahteraan dan keselamatan kita di akhirat nanti. Inilah kunci ke Syurga Allah SWT. Tanpanya amat mustahil untuk kita melangkah ke Syurga Allah dan mengecapi segala kenikmatan di sana.

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW, Muhammad ibnu Abdullah. Allah SWT telah mengurniakan kita contoh tauladan terunggul ini, mengajarkan kita semua erti IMAN dan ISLAM. Mencontohkan kita kaedah terbaik untuk memperoleh keredhaan Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan ini.

Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan doa ke atas mereka-mereka para salafussoleh, sahabat-sahabat baginda Rasullullah SAW, para mujahid-mujahid selepasnya, para ulama’-ulama’ yang meneruskan penyebaran risalah tauhid ini. Allah SWT mengizinkan atas kesungguhan mereka mewarisi dakwah dan tarbiah tinggalan Rasulullah ini, mereka berhasil mengembangkannya hingga ke seluruh dunia dan akhirnya, kebenaran ini Berjaya meresap masuk ke dalam JIWA dan HATI kita sepertimana yang dirasai kini. Biarpun ianya telah menjangkaui seribu tahun yang lepas. Subhanallah.

Alhamdulillah..
Allah SWT mengizinkan HATI ini untuk kembali ke warung ini. Semoga Allah merahmati usaha kecil ini. Biarpun, DIRI dan JIWA ini masih baru dan belum benar-benar mantap ILMUnya, pengalamannya dan amalan-amalan solehnya, tetapi HATI ini tetap HARUS melaksanakan urusan ini. Kecil dari sudut usahanya tetapi HATI ini yakin ianya tetap BESAR dalam rangka meraih tempat di sisi Allah. InsyaAllah.

InsyaAllah, perkongsian sekitar pengalaman berada di IPT. Sungguh satu pengalaman indah kurniaan Allah SWT. Pengalaman MEMILIH haluan kehidupan, pengalaman MERANGKA arah tujuan sendiri, pengalaman MEMBUAT keputusan dan pelbagai pengalaman BARU…

Sidang pembaca dirahmati Allah,

Keizinan Allah SWT, saya ditempatkan Allah untuk belajar di UIAM atau IIUM dalam jurusan senibina. Bidang yang diminati dan benar-benar mencabar. Subhanallah. Dalam jangka masa 5 tahun, terasa begitu pantas masa berlalu, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya Berjaya mendapatkan ijazah pertama. Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya, dan masih meneruskannya..

Apa yang lebih besar dan penting yang ingin dikongsikan adalah cabaran suasana kehidupan di IPT. Ramai yang melaluinya, ramai yang tanpa sedar terperangkap dengan pelbagai jerangkap-jerangkap samar di IPT.

Jika perangkap-perangkap itu hanya menyebabkan luka-luka kecil, calaran-calaran halus dan kesan-kesan sementara, ia bukanlah sesuatu yang serius dan berkewajipan untuk diperingatkan di sini. Tetapi, seamatan pengalaman melalui pancaindera kurniaan Allah ini, perangkap-perangkap di IPT ini sangat-sangat berbahaya, dan ia mampu memberi kesan atau impak yang negatif terhadap para pelajar di IPT. Kesan itu mampu mempengaruhi kehidupan selepas IPT dan apa yang lebih merungsingkan dan membimbangkan, ia akan mempengaruhi kehidupan akhirat kita nanti, ia mampu mempengaruhi timbangan amalan-amalan kita di hadapan Allah nanti…..naudzubillah.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah,

Anda mungkin seorang yang bakal ke IPT, dan anda mungkin sedang bergelar pelajar IPT, dan anda juga mungkin telah melalui alam IPT.

Perangkap pertama, dalam keadaan sedar ataupun tidak, alam IPT punyai perangkap yang mampu memerangkap AQIDAH kita. Ya, perangkap Aqidah, perangkap yang paling berbahaya dan wajib kita telitikan supaya kita sentiasa berhati-hati.

Alam IPT bakal menemukan kita dengan pelbagai fahaman agama yang berbeza-beza. Mungkin sebelum ini, kita hanya mengenali mereka yang seaqidah dengan kita, mempunyai pandangan ketuhanan yang sama. Tetapi, alam IPT bakal menemukan kita dengan mereka-mereka yang berlainan keyakinan terhadap erti ketuhanan itu sendiri. Mereka-mereka ini bakal sebilik dengan kita, bakal sekuliah atau sekelas dengan kita. Jadi, perbualan seharian kemungkinan akan menyentuh aspek kepercayaan tentang ketuhanan ini. Jadi inilah jenis perangkap pertama yang bakal kita tempuhi.

Aspek Aqidah ini, tidak akan hanya berbentuk fahaman agama yang berlainan, kadang-kadang, perangkap aqidah ini berlaku tanpa kita sedari, biarpun pada hakikat luarannya, kita akan menemukan seseorang yang sama agamanya dengan kita, sebagai contoh seseornag itu juga beragama Islam. Tetapi, disebabkan aspek2 tertentu, apabila ditelitikan kembali, hakikat dalamannya, ia mempunyai fahaman aqidah yang berlainan, seseorang itu mungkin tidak benar-benar jelas akan aqidah Islam yang sebenarnya dan dia juga mungkin tersesat daripada berpandukan Al-Quran dan As-sunnah.

Melalui pengalaman, saya pernah bertemu dengan mereka yang boleh dikatakan berfahaman Syiah. Kepercayaan mereka amat-amat bercanggahan dengan Al-Quran dan As-sunnah. Sehinggakan mereka tidak mengiktiraf Al-Quran dan Rasulullah SAW sebagai rasul. Biarpun dari sudut luaran, mereka melaksanakan solat, puasa,zakat dan ibadah khusus lainnya. Tetapi jauh di lubuk hati mereka, mereka tidak beriman kepada segala tuntutan ini. Keyakinan mereka adalah sesuatu diluar keyakinan kita. Mereka tidak meyakini Al-Quran, mereka mengganggap Al-Quran ini masih belum tulen dan penuh kesilapan.

Sebenarnya masih banyak perkara yang diyakini mereka bertentangan dengan Aqidah Islam yang sebenar, tetapi cukuplah di sini dahulu. Bahkan bukan hanya fahaman Syiah sahaja, terdapat banyak lagi fahaman-fahaman yang sesat biarpun luarannya kelihatan Islam.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah,

Lantas setelah kita mengetahui perangkap aqidah ini, seharusnya kita berwaspada dan mempersiapkan diri. Apakah yang harus kita lakukan dan laksanakan? Bagaimanakah kaedah menghindari jerangkap aqidah ini?

“Telah aku tinggalkan kepada kamu DUA perkara, jika kamu berpegang teguh kepada keduanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah”-maksud hadith.

Hadith ini adalah jaminan Rasulullah SAW kepada kita. Berpegangnya kita terhadap kedua sumber ini dengan teguh dan utuh, akan memastikan kita tidak akan mudah terperangkap dan terjerumus dalam jerangkap Aqidah itu tadi. Sentiasalah kita jadikan Al-Quran dan As-sunnah sebagi rujukan dalam setiap amal tindakan yang ingin kita lakukan. Sebagai contoh, jika kita ingin melaksanakan ibadah solah dan puasa misalnya, kita haruslah melihat kepada apa yang telah diajarkan Allah SWT melalui Al-Quran dan apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW melalui perbuatan baginda. Hal ini supaya solah dan puasa kita tadi benar-benar berlandaskan syariat Allah SWT dan diterima sebagai amalan yang benar.

Seterusnya, bagi memperkukuhkan lagi aqidah kita. Sentiasalah kita merujuk kepada para cerdik pandai dan alim ulama’yang merujuk kepada Al-Quran dan As-sunnah. Kerana, di zaman ini terdapat mereka-mereka yang menyatakan mereka adalah ulama’ tetapi mereka tidak bersumberkan Al-Quran dan As-sunnah, mereka hanya mengikut kehendak nafsu dan pemikiran sendiri dalam memberikan nasihat dan pandangan. Ini juga adalah cabaran alam IPT yang harus kita telitikan.

Seputar pengalaman yang ada pada DIRI ini, antara kekuatan yang boleh memperkukuh aqidah adalah melalui istiqamah kita terhadap majlis-majlis ilmu dan nasihat. Harus diingat, majlis-majlis ini juga harus kita pastikan bersumberkan Al-Quran dan As-sunnah. Kerana, di IPT juga terdapat majlis-majlis ilmu yang samar-samar tujuannya, tidak berpandukan Al-Quran dan As-sunnah.

Sidang pembaca yang dikasihi Allah,

Allah SWT berfirman yang bermaksud:


"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." At Tahriim : 6

Dalam melihat teguran dan nasihat Allah SWT melalui ayat ini, kita bertanggungjawab bermula berusaha menjauhkan DIRI sendiri daripada ancaman neraka Allah SWT dan seterusnya berusaha menyelamatkan ahli-ahli keluarga yang lain daripada azab seksaan neraka Allah SWT.

Oleh itu, ancaman perangkap Aqidah ini, jika tidak benar-benar dijauhkan, kita amat membimbangi sekiranya kita terjerumus ke lembah ini. Sekiranya, aqidah kita tidak lagi meyakini kewujudan Allah SWT, tidak meyakini kekuasaan Allah SWT, tidak meyakini Al-Quran sebagai kalam Allah, tidak meyakini Muhammad SAW sebagai utusan Allah kepada kita

Kesempatan masa hanya mengizinkan perkongsian ini tertumpu kepada jerangkap aqidah terlebih dahulu, mungkin di lain kesempatan, jika Allah mengizinkan, perkongsian akan menyentuh aspek yang lain pula, InsyaAllah.

Walaubagaimanapun, perangkap aqidah ini haruslah diingat, ia tidak hanya berlaku di IPT semata-mata, tetapi, kita kan tetap berhadapan dengan ujian perangkap aqidah ini sepanjang perjalanan kehidupan ini.

Oleh itu, berdoalah memohon pertolongan Allah:

“Wahai tuhan kami, janganlah Engkau condongkan HATI kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah rahmat kepada kami dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha pemberi
.”’Ali Imran ,2: ayat 8.

Sekian,Wallahu’alam.
Muhammad Siddiqi b Jamaludin
Presiden SiswaHALUAN
HALUANSiswa Nasional
   

Membina Kecemerlangan Diri Di Masa Cuti

Segala puji bagi Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat hamba-hambanya. Mahasuci bagi Allah pemilik kebesaran ’Arasy, bumi dan seisinya, yang mana tiadalah daya dan upaya setiap hamba melainkan atas kehendak dan ketentuanNya. Semoga rahmat Allah sentiasa mengalir dalam setiap gerak kerja kita sebagai hambanya, agar terus mekar dalam hati-hati kita 2 perasaan penting terhadapNya iaitu perasaan takut dan harap. Rasa takut sekiranya Allah mengambil nyawa kita sedang kita dalam kelalaian dan kekufuran. Manakala, rasa harap agar Allah terus menetapkan iman kita di tahap yang tertinggi.

An-Nabi S.A.W pernah bersabda :

“Keimanan itu boleh bertambah dan berkurang. Maka perbaharuilah iman kalian dengan Laa Ilaaha Illallaah” (HR Ahmad dan Al-Hakim)

Sahabat sahibah Haluansiswa yang dihormati sekalian,

Begitu pantas masa berlalu, sedar tidak sedar kita semakin menghampiri pertengahan tahun 2011. Rata-ratanya, ramai antara kita semakin dekat dengan cuti semester, ada juga yang cuti semester mereka telah lama bermula. Lazimnya, cuti adalah antara perkara yang paling dinanti-nantikan oleh mahasiswa. Saat bahagia musim cuti sering dimanfaatkan untuk membalas dendam ke atas pengorbanan yang dilakukan di musim kuliah dan peperiksaan. Sering kali kita dengar masa cutilah mahasiswa akan qada’ tidur, qada’ makan, qada main dan sebagainya. Cuti terasa begitu indah kerana masa dapat diperlakukan sebebasnya.

Namun, seharusnya anugerah masa lapang ini dimanfaatkan dengan cara yang berbeza oleh setiap individu yang telah dididik dalam proses tarbiyah. Masa cuti yang dilalui dimanfaatkan dengan aktiviti-aktiviti yang mempu meningkatkan kualiti diri. Biarpun suasana yang dilalui akan berbeza, biarpun di waktu cuti, kita berseorangan dan tidak lagi bersama sahabat-sahabat atau sahibah-sahibah untuk saling menguatkan, biarpun tiada orang yang akan menilai kita tapi kita tetap yakin bahawa Allah tidak pernah alpa terhadap perbuatan hambanya. Justeru, ayuhlah sama-sama kita koreksi diri, melihat sejauh mana kita memanfaatkan musim cuti. Adakah kita tergolong dalam lumrah kebiasaaan masyarakat biasa atau kita melaluinya dengan mujahadah menjadi individu yang luar biasa?

Sahabat Sahibah yang dikasihi kerana Allah,

Marilah sama-sama membina kecemerlangan diri dengan memanfaatkan anugerah masa lapang yang Allah kurniakan sebaiknya dengan memperkemaskan hubungan dengan Allah. Mempertingkatkan keimanan dengan amal-amal soleh dan mengisinya dengan perkara-perkara keimanan. Ini kerana, dengan keimanan inilah, membuatkan manusia mampu menjaga dirinya walau dia berseorangan, mampu mempertingkatkan diri walau payah, mampu bersikap amanah walau tiada yang mengetahui, mampu memperhebatkan amal walau tiada manusia yang menilai.

Firman Allah S.W.T :

”Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkara yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar” (Al-ahzab 70-71)

Suka untuk ana kongsikan di sini antara perkara-perkara yang perlu kita berikan perhatian dalam mengisi masa cuti yang panjang :

1)Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tadabbur. Selalunya di musim-musim kuliah kita sering kali dikekang oleh faktor masa. Al-Quran acap kali kita baca sebagai memenuhi routine seharian sebagai mukmin. Justeru, semoga dengan anugerah masa lapang yang Allah berikan, kita beroleh kesempatan untuk meningkatkan lagi penghayatan dan kefahaman kita terhadap tuntutan ayat-ayat yang dibaca.

2) Melatih diri melaksanakan ibadah-ibadah sunat dan qiamulail. Masa yang banyak seharusnya memungkinkan kita untuk melatih diri melaksanakan ibadah-ibadah sunnah yang lainnya. Qiamulail sebagai contohnya merupakan pendidikan rohani yang perlu sentiasa diberi perhatian. Qiam mampu melahirkan kekuatan iman yang tidak mungkin dihasilkan oleh ibadat-ibadat sunat yang lainnya. Dalam sebuah hadith diriwayatkan, bahawa Tsauban pernah bertanya kepada Rasulullah tentang amal yang dapat memasukkannya kedalam syurga atau amal yang paling disukai Allah, maka Nabi bersabda kepadanya :

”Kamu harus banyak sujud kepada Allah, kerana sesungguhnya tidaklah kamu melaksanakan sekali sujud kepada Allah, melainkan Allah meninggikan bagimu satu darjat kerananya dan menggugurkan darimu satu kesalahan. (HR Muslim, Ahmad, Tarmidzi, Nasai’ dan lain-lainnya)

Ada juga antara kita, semasa bersama sahabat-sahibah di musim kuliah, qiam dan ibadah sunnah seperti puasa telah menjadi routine yang diprogramkan. Kadang-kadang terasa mudah dan ringan untuk dilaksanakan kerana semua orang pun melaksanakannya. Justeru, marilah berusaha untuk terus melazimi malah meningkatkan kualiti ibadah-ibadah sunnah dan qiamulail kita.

3) Menyelusuri sirah generasi awal dengan memperbanyakkan membaca buku-buku sirah. Membaca sirah perjuangan para sahabat dan tabiin yang zuhud dan soleh mampu menumbuhkan kezuhudan dan membina kekuatan di relung hati untuk terus bergelumang dan membanting tulang dalam kerja-kerja da’wah. Menghayati kisah dan cara hidup mereka akan mampu mendidik jiwa untuk gemar melakukan qiyamullail, shaum sunnah, zikir, berdo’a, khusyuk dan menangis karena takut Allah SWT. Mendalami sirah para sahabat yang gemar bertaubat dapat menumbuhkan benih-benih taubat dalam hati kita, selain membuka pintu-pintu air mata penyesalan pada diri yang tadi tidak kenal menangis karena takut Allah SWT. Selain itu, buku-buku fikrah turut perlu di beri perhatian. Manfaatkanlah masa dengan bahan bacaan fikrah dan ilmiah. Janganlah hanya buku-buku novel semata-mata menjadi target untuk di khatamkan sepanjang musim cuti.

4) Mencari dan menambahkan ilmu-ilmu lainnya. Dalam kelapangan masa yang Allah anugerahkan sibukkanlah dengan ilmu yang mampu mempertajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslim, sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya yang bertapak di dalam hati yang suci. Mahasiswa Islam seharusnya sangat peka dengan ilmu. Setiap kejadian diambil iktibar dan pengajaran. Kita seharusnya, mengambil tahu isu semasa dan setiap kejadian yang berlaku di dunia. Ini kerana, orang mukmin itu orangnya tidak mudah tertipu atau ditipu, tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang negatif , tidak mudah dicorak tetapi mampu mencorak. Jelasnya, hanya dengan ilmulah ciri-ciri diatas dapat dibina. Oleh itu, kita seharusnya memberi penekanan yang serius terhadap ilmu. Nabi Muhammad SAW sendiri memerintahkan agar umat Islam melakukan penelitian dan memandang penting terhadap ilmu pengetahuan, sebagaimana sabda Baginda :

“Barang siapa menghendaki dunia, maka dia harus mencapainya dengan ilmu. Barang siapa menghendaki akhirat, maka dia harus mencapainya dengan ilmu. Dan barang siapa menghendaki keduanya, maka dia harus mencapainya dengan ilmu.”

Sahabat sahibah yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya, ruang lingkup kehidupan seorang mukmin adalah luas. Banyak perkara yang boleh kita laksanakan untuk memanfaatkan masa lapang dengan sebaik-baiknya. Perkara-perkara lain yang perlu dititik beratkan adalah dengan memperuntukkan masa untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tiada istilah cuti bagi kader-kader dakwah. Anugerah masa yang ada ini seharusnya dimanfaatkan dengan memperkemaskan kerja-kerja dakwah yang dilaksanakan lantaran perhatian yang lebih dapat kita berikan. Sebagai anak kita seharusnya mengambil kesempatan cuti untuk berbakti dan meringankan beban kedua ibu bapa. Masa inilah kerja-kerja mengurus rumah perlu diambil alih oleh kita. Selain meringankan bebanan kedua ibu bapa kita juga dapat belajar ilmu-ilmu pengurusan rumah tangga. Jangan dilupa tentang kesihatan. Kesihatan dan kekuatan fizikal adalah amanah yang wajib dipelihara. Hindarilah daripada aktiviti-aktiviti yang sia-sia dan merosakkan ketangkasan badan seperti tidur sepanjang hari dan melayari internet sepanjang malam. Bersihkanlah diri daripada sifat malas. Islam tidak suka kepada umatnya yang pemalas, hidup goyang kaki bagai orang tiada matlamat. Masa lapang yang Allah anugerahkan perlu kita sibukkan dengan perkara-perkara yang meningkatkan kualiti diri, keluarga dan masyarakat.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menjadikan masa cuti kali ini antara masa-masa yang benar-benar berharga dan bermanfaat dalam hayat kita. Akhir sekali, marilah sama-sama kita berlindung kepada Allah agar dipelihara daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyu’, nafsu yang tidak pernah puas serta pemeliharaan daripada dosa yang telah kita perbuat dan dosa yang belum kita perbuat. Semoga redha Allah sentiasa bersama. Wallahu a’lam.


Nusaibah Mutmainnah Mohamad Azmi

Naib Presiden 1 SiswiHALUAN,

HALUANSiswa Nasional.

24 April 2011.

   

Kembali kepada Perencah Rabbani

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، سيدنا محمد وعلى آله وأصحبه أجمعين و بعد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ikhwah akhawat HALUAN Siswa yang dirahmati Allah SWT,

Marilah kita bersama-sama berlindung kepada Allah SWT, agar dijauhkan daripada ujub dan riya' dalam setiap aspek kehidupan kita. Mereka ini ialah perosak-perosak tanaman amalan kita, malah menghancurkan bekalan-bekalan kita menuju ke destinasi abadi yang dituju-tuju. Kerana apalah erti perjalanan ini lantaran di penghujungnya hanyalah keletihan dan usaha sia-sia semata-mata.

Imam An-Nawawi berkata,

"Ketahuilah bahawa ikhlas itu dapat disusupi penyakit ujub. Maka siapa sahaja yang merasa kagum dengan amalannya, nescaya pahala amalannta itu akan binasa"

Seterusnya, ayuh bangunkan seluruh panca indera kita untuk merasakan suatu urgensi, bahawa seluruh jiwa dan raga ini harus terus menapaki jalan yang kita yakini ini. Jalan yang diwarisi daripada para anbiya dan solihin, dan satu-satunya jalan yang akan membimbing seluruh masyarakat ke arah kecintaan dan keredhaan Allah SWT.

ألحق من ربك فلا تكونن من الممترين

"Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu, oleh itu janganlah kamu termasuk dalam golongan yang ragu-ragu" (Al-Baqarah: 17)

Ikhwah akhawat yang dikasihi,

Begitu banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini, antaranya kebangkitan Mesir dan negara-negara Arab sekitar, Tsunami di Jepun, kegagalan reaktor nuklear dan ancaman radiasi, paling mutakhir pencerobohan tentera barat ke atas Libya dan banyak lagi. Seharusnya setiap peristiwa ini dikaji dan difahami oleh para aktivis, kerana pastinya setiap ianya mempunyai pengajaran dan iktibar daripada Allah SWT. Hal-hal ini jelas merupakan peringatan daripada Allah SWT, agar setiap Muslim membangkitkan unsur kekuatan roh, jasad dan aqal, buat mereka yang benar-benar memerhati.

ولا تكونوا كالذين نسواالله فأنساهم أنفسهم

"Dan jangan kamu menjadi seperti orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa pada mereka sendiri" (Al-Hasyr: 19)

Musibah yang menimpa negara-negara berpenduduk Muslim terutamanya, merupakan kerisauan yang besar buat kita. Kita hilang sensitiviti persaudaraan ini, sehinggakan apa yang berlaku pada saudara-saudara kita dilihat acuh tak acuh oleh mata hati kita. "Biar sahaja mereka diserang Zionis, Gaza bukan daerah di Malaysia". Atau "Mesir itu bukannya kampungku" dan "Biarkan Libya begitu, asal Kuala Lumpur masih aman". Realitinya, Muslim disuntik secara halus dengan semangat kebangsaan terutamanya selepas kejatuhan Khilafah, menyebabkan kita bercakaran sesama sendiri atas nama bangsa, walau memikul Kalimah Tayyibah yang sama.

Ikhwah akhawat yang dihormati,

Persoalan kepincangan ummah ini hanyalah dapat dijawab dengan satu; Kembali kepada kekuatan asal kita. TARBIYAH ISLAMIYAH. Sistem didikan bersumberkan Rabbani (Al-Quran dan As-Sunnah), dengan Allah SWT sebagai tujuan, Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan, dan terlaksana dalam biah yang solehah.

Risalah inilah yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW, hingga melahirkan suatu generasi Al-Quran yang unik. Generasi yang bersih hatinya, mindanya dan kefahaman fikrahnya. Kita harus faham sedalam-dalamnya bahawa kesatuan dan kebangkitan ummah hanya akan tercapai dengan proses yang sama. Ikatan ukhuwah dibina atas dasar Iman dan Islam. Proses ini membentuk Muslim yang benar aqidahnya, sahih ibadahnya, baik akhlaqnya, terdidik akal fikirannya, kuat tubuh badannya, mampu bekerja, memberi faedah pada yang lain, bermujahadah diri, menjaga masa, teratur urusannya dan sifat-sifat mulia lain yang menggambarkan kesempurnaan syakhsiah.

Kualiti-kualiti individu Muslim sebegini akan membangunkan rumahtangga Muslim, seterusnya masyarakat Muslim dan akhirnya daulah Islamiyah yang merealisasikan syari'at Allah SWT dalam seluruh urusan kehidupan.

Ikhwah akhawat HALUAN Siswa yang berjiwa besar,

Setiap kita harus sentiasa berada di dalam ribaan tarbiyah. Ribaan ini mempunyai matlamat yang telah ditetapkan, langkah-langkah yang jelas, sumber-sumber yang bersih, prosesnya yang lengkap melengkapi, dan uslubnya yang pelbagai. Semuanya diambil daripada Islam, dan bukan daripada sumber yang lain.

3 perkara yang kita harus yakini;

1. Tarbiyah adalah jalan yang sukar, namun hasilnya berkualiti.

2. Tarbiyah adalah jalan yang panjang, namun keaslian natijahnya terpelihara.

3. Tarbiyah adalah jalan yang lambat, namun hasilnya terjamin.

Marilah kita memberi fokus tarbiyah yang tajam dalam setiap program yang kita hadiri atau anjurkan. Bukakan hati dan persiapkan diri seluruhnya untuk diproses. Kutiplah mutiara-mutiara tarbiyah dalam setiap program yang kita hadiri dan sentiasa panjatkan doa kepada Allah SWT agar ditingkatkan iman dan terus tsabat di atas jalan ini.

Ikhwah akhawat yang dihormati,

Saya akhiri dengan memohon keampunan daripada Allah SWT atas dosa yang sering dilakukan dalam proses menulis ini. Kita memohon kepada Allah SWT agar sentiasa dilindungi daripada ujub dan riya' yang selalu merosakkan amalan kita sebagai Muslim.

"Tidak masuk syurga orang dalam hatinya terdapat kesombongan seberat zarah pun" (HR Muslim)

"Orang yang berbicara itu menunggu fitnah. Dan orang yang mendengar menunggu rahmah"-ulama

Marilah kita sama-sama refleksi diri kerana perjalanan ini amat jauh dan berliku-liku. Sepanjang perjalanan ini, kita akan bertemu pelbagai halangan. Dan halangan inilah yang Allah SWT berikan kepada kita untuk terus maju dan tertingkatnya keimanan kita InsyaAllah.

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al-Baqarah:285)

Mungkin ada saatnya kita terduduk dek halangan dan keletihan, namun peringatan dan tazkirah itu amat berguna bagi kita untuk kembali bangkit. Maka saya menyeru kepada diri yang lemah ini serta teman-teman, ayuh! kita telusuri perjalanan ini bersama-sama dengan iman dan taqwa, semoga meraih syurga abadi di sana nanti.

أقول قولى هذا وأستغفر الله العظيم لے ولكم والله غفور الرحيم

ألسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

والله تعالى أعلم

MOHAMMAD HUDZAIFAH B NORDIN

Ahli Majlis Tertinggi

HALUANSISWA Nasional,

HALUAN Malaysia.

 

   

Binalah Keikhlasan dalam Setiap Amalmu

Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan kasih sayang Allah SWT, kita masih lagi diberi peluang untuk meneruskan kehidupan kita sebagai hamba-Nya. Justeru, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan beriltizam dalam mentaati setiap suruhan-Nya dan meninggalkan setiap larangan-Nya.

Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,

Ikhlas merupakan salah satu daripada amalan hati. Maksud ikhlas ialah melakukan sesuatu semata-mata mencari keredhaan Allah SWT, tanpa dicampuri dengan tujuan lain seperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan, meminta pujian atau lari dari kejian, mengikut hawa nafsu tersembunyi atau tujuan-tujuan lain yang bukan kerana Allah SWT.

Sesungguhnya, Allah tidak menerima satu amal atau perbuatan tanpa disertai keikhlasan.

Firman Allah SWT;

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhan-Nya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

[Surah Al-Kahfi: 110]

Rasulullah SAW juga ada berpesan sebagaimana telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa’i menjelaskan:

“Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepada-Nya, dan ditujukan hanya untuk-Nya.”

Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,

Tuntasnya, keikhlasan merupakan elemen yang sangat penting dalam setiap amal. Hal ini kerana, keikhlasan merupakan garis pemisah sama ada amalan atau kerja-kerja itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT. Kerja yang baik mempunyai dua rukun iaitu; pertama, Ikhlas dan betul niat, serta kedua, bertepatan dengan sunnah dan syarak.

Allah SWT berfirman tentang amal yang dimaksudkan selain daripada Allah akan menjadi sia-sia. Firman Allah SWT;

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu sebagai debu berterbangan”

[Surah Al-Furqan: 23]

Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,

Terdapat beberapa unsur yang sangat penting dalam melahirkan keikhlasan, antaranya ialah:

[1] Menumpukan perhatian hanya kepada ‘pandangan’ Al-Khaliq, bukan pandangan makhluk. Al-Fudhail bin Iyadh berkata;

“Amal yang dikerjakan kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, sedangkan ikhlas adalah jika engkau bebas daripada keduanya.”

[2] Tidak menghitung-hitung pahala amalnya. Orang mukhlis (yang ikhlas) tidak merasa aman terhadap amalnya kerana dia bimbang amalnya tidak diterima Allah SWT.

[3] Orang mukhlis melihat amal yang dilakukannya itu adalah dengan taufiq daripada Allah SWT. Oleh itu, tidak layak baginya menuntut ganjaran daripada amalnya. Malah, dia melihat pahala merupakan kebaikan daripada Allah SWT atas dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

“Sekali-kali amal salah seorang daripada kamu tidak akan mempu memasukkannya ke dalam syurga.” Mereka bertanya, “Begitu juga amalan kamu wahai Rasulullah?” jawab baginda,”Ya, begitu juga aku, kecuali Allah melimpahkan Rahmat-Nya kepadaku.”

[Muttafaq Alaihi]

Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,

Mengapa Allah menyuruh kita ikhlas? Ikhlas dapat melahirkan berbagai natijah kepada individu. Secara umumnya, dapat dijelaskan seperti berikut:

[1] Ketenangan jiwa.

Ikhlas memberi ketenangan jiwa dan kedamaian hati kepada pelakunya, sehingga lapang dada dan terang hatinya. Hatinya hanya fokus kepada satu tujuan, iaitu keredhaan Allah SWT.

[2] Kekuatan rohani.

Ikhlas memberi kekuatan rohani kepada orang mukhlis kerana keunggulan tujuan ikhlas di dalam dirinya dan kehendaknya yang menyatu iaitu keredhaan Allah SWT. Sebaliknya, orang yang gila harta, kedudukan, kehormatan atau gelaran adalah amat lemah, kerana takut kehilangan keuntungan yang diharapkannya. Sedangkan orang yang menjual dunia kerana Allah, dia akan memperoleh kekuatan.

[3] Kerja berkesinambungan.

Ikhlas melahirkan individu yang bekerja secara berterusan. Orang yang bekerja kerana Allah tidak akan memutuskan kerjanya, tidak berundur dan tidak merasa malas. Hal ini kerana asas kerja mereka tidak akan luput. Firman Allah SWT;

“Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nyalah segala penentuan, dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

[Surah Al-Qasyasy: 88]

Sebagai kesimpulan, Allah tidak menerima amal yang tiada keikhlasan. Allah redha amalan yang baik jika disertai keikhlasan, terlepas daripada syirik, samada kecil atau besar, samada kelihatan atau tersembunyi. Keikhlasan tidak akan sempurna kecuali dengan niat yang tulus, semata-mata kerana Allah, yang terlepas daripada kecenderungan individu atau duniawi. Wallahu’alam.

Amnani Binti Shamjuddin.

Presiden SiswiHALUAN,

HALUANSiswa Nasional.

28 Februari 2011.

 

   
  • «
  •  Start 
  •  Prev 
  •  1 
  •  2 
  •  3 
  •  4 
  •  Next 
  •  End 
  • »

Siapa Kami?

Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) ialah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah HALUAN Malaysia. Kelab ini menjadi platform kepada ahli-ahli yang terdiri daripada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara untuk bergabung tenaga bagi menjayakan visi dan misi HALUAN. PPM 969/88

Who's Online

We have 7 guests online

Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday78
mod_vvisit_counterYesterday480
mod_vvisit_counterThis week2219
mod_vvisit_counterLast week3253
mod_vvisit_counterThis Month4163
mod_vvisit_counterAll days291127